Usaha penjimatan kos Formula Satu (F1) telah disetujui oleh Persatuan Permotoran Antarabangsa (FIA) berikutan wabak novel koronavirus (Covid-19).

Selepas undian Majlis Sukan Permotoran Dunia semalam dalam usaha mengehadkan kos bagi 2021 yang akan diturunkan daripada $175 juta (RM761.9j) setahun kepada $145j (RM631.3j), termasuk pengurangan kos pada tahun-tahun berikutnya.

Saingan musim 2020 masih belum dapat diadakan angkara pandemik itu yang telah meragut lebih daripada 356,000 nyawa di seluruh dunia.

Kesepakatan juga telah dicapai yang menyaksikan semakin rendah kedudukan sesebuah pasukan itu di kedudukan pengeluar, semakin banyak masa yang akan mereka peroleh untuk menggunakan terowong angin bagi meningkatkan kualiti jentera pada tahun berikutnya.

FIA juga meluluskan langkah untuk menghadkan keupayaan jentera pada 2021.

Perubahan lain termasuk:

- Beberapa komponen termasuk pembinaan rangka dan kotak gear telah dibekukan di antara tahun ini dan 2021 dengan membenarkan sejumlah perubahan yang sangat terhad termasuk peralihan teknologi McLaren ke Mercedes.

- Pengeluaran unit kuasa selama semusim dihadkan bermula 2021.

- Peningkatan berat minimum sebanyak 3kg yang boleh mencapai sehingga 749kg mulai tahun depan.

- Peruntukan dibekalkan untuk acara "terbuka" dan "tertutup" tahun ini ekoran Covid-19 memandangkan perhimpunan besar-besaran adalah dilarang di beberapa negara.