Ketua bahagian enjin pasukan Mercedes, Andy Cowell, akan meninggalkan jawatannya bulan depan, demikian disahkan pasukan itu.

Cowell merupakan pencetus kepada penyediaan jentera yang mendominasi saingan Formula 1 (F1) sepanjang enam tahun lalu.

Mercedes memenangi kategori pengeluar dalam setiap enam musim lalu dengan Lewis Hamilton memenangi lima kejuaraan kategori pemandu dan bekas rakan sepasukannya, Nico Rosberg, pula memenangi gelaran sama pada 2016.

Cowell, 51, telah menghabiskan 16 tahun dengan peranan senior di Mercedes dan jawatannya sebagai pengarah urusan bahagian unit kuasa F1 akan diisi oleh Hywel Thomas bermula awal bulan depan.

"Sifat kepimpinan Andy dalam pasukan HPP (High Performance Powertrains) telah menjadi kunci utama kejuaraan kami dalam beberapa musim lalu," kata Prinsipal Mercedes, Toto Wolff.

"Dia telah memberikan sumbangan yang luar biasa buat legasi sukan permotoran kami dan saya dapat menilai dan menikmati kerjasama kami sejak 2013.

Saya pasti dia juga akan menikmati kejayaan dalam cabaran baru yang dipilihnya nanti," katanya.

Saingan F1 musim 2020 masih belum bermula disebabkan pandemik koronavirus dan akan membuka tirai dengan perlumbaan Grand Prix Austria pada 5 Julai ini.