Lewis Hamilton keletihan dan gembira selepas menewaskan Valtteri Bottas untuk mengungguli perlumbaan epic di Litar Mugello dalam Grand Prix Tuscan malam tadi dengan menyifatkan litar itu sebagai "satu fenomena".

Perlumbaan itu dihentikan sebanyak dua kali kerana kibaran bendera merah, bahkan kereta keselamatan turut dibawa masuk tidak lama selepas pendahulu, Hamilton, dipintas oleh rakannya dalam pasukan Mercedes, Bottas.

Ia menjadi sebahagian daripada permulaan dramatik yang turut menyaksikan beberapa kemalangan dan penarikan diri pencabar kejuaraan, Max Verstappen.

Tetapi hamilton kembali mendahului perlumbaan dengan memintas Bottas ketika perlumbaan dimulakan semula buat kali pertama dan mengekalkan kedudukan itu untuk kemenangannya yang ke-90 dalam Grand Prix Formula 1 (F1) -- kurang satu daripada rekod terbanyak sepanjang zaman milik pemandu legenda, Michael Schumacher.

"Ia agak memeningkan," kata Hamilton, yang berkelebihan 55 mata di depan Bottas dalam kedudukan keseluruhan.

"Ia ibarat tiga perlumbaan dalam sehari! Ia benar-benar amat sukar, terutama dengan permulaan sukar seperti ini.

"Litar ini satu fenomena. Amat jelas kehangatan dan mengejar Valtteri dari belakang, di mana dia amat pantas hujung minggu ini, bukan sesuatu yang mudah dan saya berada di belakang jejak permulaan.

"Dengan perlumbaan dimulakan semula beberapa kali, dengan fokus yang diperlukan sepanjang tempoh itu, ia benar-benar sukar," katanya.

Dia menambah: "Ia (mencabar) disebabkan permulaan semula -- ketika yang pertama saya masih berasa baik kerana dapat menguruskan tayar untuk digunakan dan saya tidak perlu berhenti tetapi terdapat kebimbangan kerana Valtteri mengalami masalah.

"Yang kedua pula, saya bermula dengan tayar lembut, tayar terpakai, tidak tahu berapa lama ia boleh bertahan dan Valtteri kemudian tiba entah dari mana sebelum Danny (Ricciardo) berada di belakang.

"Dan Valterri terus memberikan saingan. Saya melihat kepada keadaan tayar dan dia boleh mengejar, jadi saya cuba mengekalkan jarak melebihi satu saat -- saya tidak mahu dia memperoleh DRS dengan jarak 1,000 meter -- jantung saya amat berdebar-debar.

"Amat gila untuk berada di sini dan memenangi Grand Prix ke-90," katanya.