F1: Hubungan Vettel dengan Ferrari tidak seburuk disangka -- Raikkonen

Oleh Muzaffar Musa 10 Julai 2020 95
F1: Hubungan Vettel dengan Ferrari tidak seburuk disangka -- Raikkonen
Sebastian Vettel  mengalami permulaan suram dalam saingan Formula 1 (F1) musim 2020 tetapi Kimi Raikkonen tidak percaya hubungan pemandu berbangsa Jerman itu dengan Ferrari adalah seburuk yang disangka.

Ferrari enggan menyambung kontrak juara empat kali itu pada penghujung tahun ini dengan mengambil Carlos Sainz sebagai pasangan buat Charles Leclerc bagi musim 2021.

Vettel tidak dapat melepasi pusingan Q2 dalam Grand Prix Austria dan menamatkan perlumbaan itu di tempat ke-10 selepas keretanya bersentuhan dengan Sainz, ketika pemandu McLaren itu cuma memintas Leclerc, dan berpusing.

Pengarah F1, Ross Brawn mendakwa Vettel amat terkesan selepas disingkirkan Ferrari tetapi Raikkonen sukar mempercayai perkara itu.

"Sejujurnya, saya bercakap dengannya hujung minggu lalu, sejurus kami berdua berjumpa, saya fikir ia sebelum perlumbaan dan hanya itulah yang saya tahu," kata Raikkonen menjelang Gran Prix Styrian di Red Bull Ring hujung minggu ini.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku di sana, ia bukan urusan saya.

"Saya fikir ia tidak adil untuk memberikan komen sama ada seseorang itu dilayan dengan buruk atau tidak kerana saya tidak tahu apa yang sedang berlaku.

"Saya tidak fikir hubungan mereka seburuk seperti yang dikatakan.

"Amat jelas, adakalanya ia tidak berlaku seperti yang diharapkan, anda meninggalkan pasukan atau memilih untuk pergi, atau apa-apa seperti itu.

"Kita akan melihat apa yang akan berlaku sdelepas ini. Anda perlu bertanya kepadanya.

"Saya tidak akan berkata banyak mengenai kesukaran itu hanya selepas satu perlumbaan.

"Ia bukan sesuatu yang mudah buat kami (Alfa Romeo) juga. Saya pasti mereka boleh menjadi lebih kuat berbanding hujung minggu lalu," katanya.
   

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen