Lewis Hamilton meraih gelaran juara dunia Formula 1 (F1) keenam selepas menamatkan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS) di tempat kedua di belakang rakan sepasukannya, Valtteri Bottas, awal pagi tadi.

Dengan hanya perlu menamatkan perlumbaan di Litar Americas itu di tempat kelapan untuk mengesahkan kejuaraan ketiga berturut-turut, pemandu utama pasukan Mercedes itu mengejar dari petak kelima untuk mengesahkan kejuaraan walaupun masih berbaki dua perlumbaan.

Ia merupakan kejuaraan kelima pemandu Britain itu dalam enam musim ini dan melonjakkannya di kedudukan nombor dua dalam senarai kejuaraan terbanyak sepanjang zaman -- mengatasi rekod Juan Manuel Fangio dan kekurangan satu gelaran di belakang Michael Schumacher.

Hamilton juga telah memenangi 10 GP sepanjang tahun ini dengan berkelebihan 67 mata di depan Bottas dalam kedudukan keseluruhan.

Melengkapkan kedudukan podium dalam perlumbaan itu ialah Max Verstappen, yang menandakan GP ke-100 bersama pasukan Red Bull dengan kedudukan tempat ketiga.

Hamilton bermula dengan baik apabila melonjak daripada kedudukan kelima kepada ketiga.

Dua pelumba Ferrari, Sebastian Vettel dan Charles Leclerc, masing-masing dipintas dua pelumba sebelum Leclerc mengalami masalah penyerap hentakan.

Ketika setiap pemandu merancang strategi hentian pit berbeza, Hamilton -- yang merancang hanya melakukan satu hentian -- berada di depan menjelang pusingan ke-20.

Seperti yang dirancang, dia merupakan pemandu dalam kelompok depan terakhir ke pit untuk kembali ke kedudukan ketiga dan menyedari pesaing utamanya perlu melakukan satu hentian lagi.

Ia meletekannya di posisi terbaik untuk kembali ke kedudukan utama walaupun Bottas turut mencatatkan masa sepusingan terbaik untuk memberikan ancaman.

Bagaimanapun, Hamilton berdepan masalah tayar seperti yang dialaminya di Mexico dalam perlumbaan sebelumnya.

Bottas kemudian memanfaatkan keadaan tayar yang lebih baik untuk memintas Hamilton pada pusingan ke-52 untuk meraih kemenangan keempatnya musim ini.

Namun, ia tetap hari bertuah Hamilton untuk meraih gelaran Stateside kedua selepas turut melakukannya pada 2015.