F1: Hamilton janji waspada Red Bull selepas kemenangan Verstappen

Oleh Muzaffar Musa 10 Ogos 2020 153
F1: Hamilton janji waspada Red Bull selepas kemenangan Verstappen
Lewis Hamiton teruja dengan kemenangan mengejutkan Max Verstappen dalam ulang tahun Grand Prix ke-70 tetapi menegaskan Mercedes tidak akan memandang mudah kejayaan itu.

Hamilton mendominasi saingan Formula 1 (F1) selepas menjuarai kategori pemandu sepanjang tiga musim lalu dan bintang Mercedes itu sedang mendahului kedudukan musim 2020.

Bagaimanapun, pelumba British itu gagal memenangi perlumbaan keempat berturut-turut dan yang kedua dalam tempoh dua minggu di Litar Silverstone malam tadi.

Ketika tayar jentera Mercedes melepuh dalam keadaan litar panas, jentera Red Bull yang dipandu Verstappen memanfaatkan keadaan itu untuk menjuarai perlumbaan berkenaan dan melonjak ke tangga kedua kesluruhan dengan 30 mata di belakang Hamilton.

Juara bertahan, Hamilton, menyambut baik saingan itu dengan berkata dalam sidang media selepas perlumbaan: "Saya fikir ia (persaingan) hebat. 

"Seperti yang saya katakan, saya mahu berlumba dalam perlumbaan yang mencabar seperti hari ini, jadi saya amat teruja untuk menyaksikan perlumbaan ini.
 
"Amat jelas bahawa Red Bull sedang menghampiri kami daripada segi keadaan perlumbaan dan ia lebih jelas pada hari ini, jadi ia menunjukkan bahawa mereka bukanlah pakej buruk seperti yang diperkatakan sebelum ini.

"Tetapi saya fikir ia sesuatu yang baik. Amat menarik untuk menyaksikan perkembangan mereka sepanjang tahun ini dan saya sudah pasti tidak akan memandang rendah mereka.

"Saya fikir kami perlu sentiasa berwaspada dengan mereka dan berusaha untuk terus ke depan kerana saya tidak fikir ia akan menjadi lebih mudah selepas ini.

"Tetapi saya tidak fikir pasukan saya mempunyai pemikiran seperi itu, jadi kami hanya perlu terus rendah diri," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen