F1: Bottas juara di Suzuka

Oleh Penulis Jemputan 13 Oktober 2019 45
F1: Bottas juara di Suzuka
Valtteri Bottas meraih kemenangan pertama dalam saingan Formula Satu selepas 13 perlumbaan di Litar Suzuka, sekali gus membantu Mercedes merakamkan kemenangan keenam berturut-turut dalam kategori pengeluar dalam Grand Prix Jepun, hari ini.

Ferrari meraih dua kedudukan terbaik dalam saingan kelayakan, namun permulaan Sebastian Vettel yang mengecewakan  menghukumnya apabila sekadar berpuas hati di tempat kedua sementara Lewis Hamilton di tempat ketiga.

Max Verstappen terpaksa menarik diri selepas insiden pusingan pertama dengan Charles Leclerc, yang berjaya mengejar saingan sebelum menamatkan perlumbaan di tempat keenam di belakang pemandu Red Bull, Alex Albon dan pemandu McLaren, Carlos Sainz.

Tetapi Leclerc diturunkan ke tangga ketujuh dan Daniel Ricciardo memperoleh tempat keenam selepas siasatan pihak pegawai perlumbaan terhadap insiden yang berlaku.

Mercedes menjadi pasukan kedua dalam sejarah untuk memenangi enam gelaran berturut-turut selepas dilakukan oleh Ferrari ketika dipandu Michael Schumacher dari 1999 hingga 2004.

Keputusan itu turut meletakkan pemandu dari Finland, Bottas, sebagai satu-satunya pencabar yang mampu menafikan gelaran juara dunia untuk rakan sepasukannya, Hamilton.

Hamilton kini mendahului 64 mata dalam carta keseluruhan tatkala musim 2019 hanya berbaki empat perlumbaan lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen