F1: 80,000 peminat dijangka hadir saksikan perlumbaan terakhir GP Malaysia 

Oleh Penulis Jemputan 26 September 2017 456
 F1: 80,000 peminat dijangka hadir saksikan perlumbaan terakhir GP Malaysia 
Edisi ke-19 perlumbaan Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Malaysia pada hujung minggu ini adalah yang terakhir selepas kontrak penganjurannya tidak disambung. 

Lantaran itu, amat penting buat Litar Antarabangsa Sepang (SIC) memastikan perlumbaan kali ini berlangsung tanpa sebarang masalah. 

Antara aspek keselamatan yang menjadi perhatian adalah tembok penghadang tayar yang dinaik taraf selaras dengan kehendak Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), 

Selain itu, pengunjung juga dapat menjangkakan kawalan keselamatan yang lebih ketat hasil bantuan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan menempatkan seramai 683 pegawai dan anggota. 

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali, turut mengesahkan lebih 60,000 keping tiket sudah terjual dengan jangkaan 80,000 penonton akan hadir pada hari perlumbaan. 

"Saya dimaklumkan tiket begitu laris dengan 60,000 sudah dijual. Kami menyasarkan 80,000 peminat akan hadir nanti kerana seperti biasa, rakyat Malaysia sering kali membeli tiket pada saat-saat akhir," katanya dalam sidang media taklimat trafik dan juga keselamatan GP Malaysia 2017 hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerag Sepang, Supritendan Baharuddin Mat Taib, yang memberi jaminan tiada ancaman yang mampu menggugat kelangsungan penganjuran perlumbaan itu nanti. 

"Kami menyediakan pasukan anggota keselamatan untuk mengawal bangunan SIC ini secara 24 jam sehari. 

"Penganjuran ini juga terdedah dengan ancaman-ancaman yang kita sudah sedia maklum," ujar Baharuddin. 

Selain taklimat keselamatan, turut berlangsung demonstrasi tindak balas pasukan perubatan untuk sebarang insiden yang berlaku. 

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen