Pelumba negara, Mohd Zaqhwan Zaidi, ingin mengelak apa jua kesilapan yang mungkin berlaku apabila mempunyai misi untuk meraih keputusan terbaik dalam Kejohanan Dunia Endurance (EWC) di Litar Antarabangsa Sepang yang akan bermula esok.

Pengalaman beraksi dalam perlumbaan Suzuka 8 Hours akan menjadi sandaran pelumba negara, Zaqhwan, untuk meraih keputusan yang baik dalam EWC kali ini, namun dia tidak menafikan sebarang kesilapan kecil mampu memberi kesan yang besar pada pasukannya, Honda Asia Dream Racing.

"Agak tertekan kerana permulaan pertama ini bakal disaksikan ramai yang menyokong. Saya agak berdebar untuk bermula tetapi kalau boleh nak elak kesilapan," katanya.

Dia akan bergandingan dengan pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar, dan Somkiat Chantra dari Thailand dalam perlumbaan yang juga merupakan saingan kelayakan Suzuka 8 Hours 2020 di Jepun, 19 Julai depan.

Litar Antarabangsa Sepang menganjurkan Races Of Malaysia yang menampilkan dua perlumbaan serentak dua roda, EWC, dan aksi empat roda, Kejohanan Piala Touring Car Dunia (WTCR).

Sementara itu, BMW Sepang Racing Team menggandingkan dua pelumba negara untuk meraih podium dalam perlumbaan EWC, iaitu Azlan Shah Kamaruzaman dan Adam Norrodin.

Bagaimanapun, Azlan tidak menafikan perlumbaan selama lapan jam itu bukan perkara mudah, apatah lagi dengan saingan pasukan yang kuat bagi perlumbaan kali ini.

"Ia sangat mencabar kerana saya sertai pasukan ini pada saat-saat akhir. Untuk litar di Sepang, memang saya dah kenal tetapi untuk hadapi saingan selama lapan jam, saya dan rakan sepasukan perlu pastikan kami konsisten dan berada di kedudukan terbaik," katanya.

"Sangat teruja dan gembira dengan aksi lapan jam. Dalam perlumbaan lain sebelum ini, ia tidak sebanyak saingan ini tetapi syukur ini satu pengalaman. Ia juga jadi persiapan untuk saya hadapi saingan tahun depan," tambah Adam.

Azlan akan menjadi pelumba pertama bagi pasukannya dalam perlumbaan esok dan bakal bermula di petak permulaan kelapan.