Mercedes AMG Petronas mengungguli sesi kelayakan Grand Prix (GP) Formula Satu Malaysia apabila pemandunya, Lewis Hamilton dan Nico Rosberg, melakukan dua catatan terpantas untuk berada di petak utama di Litar Antarabangsa Sepang, esok.

Hamilton, yang juga juara bertahan GP Malaysia, jelas serasi dengan litar berkenaan yang baru dilakukan penambahbaikan apabila mencatat kepantasan 1 minit 32.850 saat -- mengatasi rekod terpantas sepusingan yang dilakukan pelumba Williams, Juan Pablo Montoya, pada 2004.

Rakan sepasukannya, Rosberg, mencatatkan masa kedua terpantas, 1 minit 33.264 saat, diikuti pelumba Red Bull Racing, Max Verstappen, ketiga terpantas apabila merakamkan 1 minit 33.420 saat.

Verstappen diekori rakan sepasukannya, Daniel Ricciardo, untuk berada di tempat keempat apabila melakukan catatan 1 minit 33.467 saat.

"Saya benar-benar menikmati pusingan ini. Ia harus lebih pantas daripada itu," kata Hamilton kepada AFP.

Malah, ia menandakan kembalinya ke kemuncak prestasi buat juara dunia tiga kali itu selepas rakan sepasukannya, Rosberg, mengungguli tiga perlumbaan terakhir -- di Belgium, Itali dan Singapura -- untuk mendahului dengan lapan mata dalam perebutan kejuaraan keseluruhan.