Dua misi penting Hafizh di Sepang

Oleh Penulis Jemputan 24 Oktober 2017 823
Dua misi penting Hafizh di Sepang
Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, mempunyai "misi dua dalam satu" menjelang perlumbaan MotoGP 2017 di Sepang hujung minggu ini -- menyasarkan kedudukan
podium dan mengulangi kedudukan ranking keseluruhan seperti musim lalu.


Walaupun berjaya meraih dua kedudukan podium pada tahun ini, Hafizh masih  kurang berpuas hati dengan ranking semasanya. 

Di tangga ke-11 ketika ini selepas memungut 86 mata, Hafizh mengakui berdepan kesukaran untuk mengulangi pungutan sama seperti tahun lalu melalui 118 mata untuk berada di kedudukan kesembilan.

Setelah mengatasi beberapa masalah jentera pada pertengahan musim ini, Hafizh melaungkan keyakinan mahu memenuhi harapan peminat tempatan yang akan membanjiri Litar Antarabangsa Sepang (SIC), minggu ini.

"Saya mengharapkan dapat mencipta kejayaan di Sepang nanti. Namun, saya tidak boleh terlalu selesa kerana harus bersedia menghadapi sebarang masalah yang menanti jentera saya. Dalam perlumbaan sebelum ini, saya mengalami masalah dengan tayar dan sekadar mengakhiri saingan di tempat ke-16," katanya.

Dalam perlumbaan terakhir di Litar Phillip Island, Hafizh sekadar menduduki tangga ke-16, sekaligus gagal meraih sebarang mata.

Kedudukan terbaik Hafizh buat masa ini ialah di Grand Prix (GP) San Marino apabila menduduki tempat kedua selepas kemenangan Dominique Aegerter ditarik balik.

"Susah nak diterangkan, saya bergelut dengan jentera serta situasi semasa perlumbaan. Bagaimanapun, saya tidak boleh mengulas mengenai perkara ini dan cuba untuk memberikan yang terbaik untuk rakyat Malaysia," ujarnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen