Pelumba Thailand, Decha Kraisart, beraksi cemerlang pada hari pertama Pusingan 6, Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) setelah muncul pelumba terpantas dengan catatan 1'39.586s di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, hari ini.

Pelumba negara, Mohd Zaqhwan Zaidi, turut beraksi konsisten dengan catatan kedua terpantas dalam kelas SuperSports 600cc

Pelumba Musashi Boon Siew Honda itu, yang turun ke litar dengan misi merebut gelaran juara keseluruhan, melakukan catatan terbaik 1'39.716s, diikuti rakan sepasukan Decha dari pasukan Yamaha Thailand Racing, Chalermpol Polamai, 1'39.830s.

Pendahulu keseluruhan, Tomoyoshi Koyama (T. Pro Yuzy Honda NTS), turut beraksi cemerlang dengan catatan keempat terpantas, 1'39.889s.

Namun, bagi Zaqhwan, dia lebih memberikan tumpuan terhadap Koyama berbanding Decha: "Saya tidak begitu bimbangkan Decha sekalipun dia agak laju pada hari ini, sebaliknya saya lebih memberi tumpuan terhadap Koyama kerana kami sama-sama sedang bersaing untuk mengejar gelaran juara keseluruhan."

"Cuaca minggu ini juga agak sejuk dan mungkin memberikan sedikit kesukaran kepada saya dalam perlumbaan sebenar nanti.

"Saya perlu memilih tayar yang sesuai memandangkan dalam cuaca sejuk seperti ini, tayar perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan cengkaman yang baik dan pada masa sama saya perlu kekal konsisten dalam setiap pusingan.

"Saya jangkakan perlumbaan minggu ini sangat mencabar dan saya tidak boleh melakukan sebarang kesilapan, tidak kira strategi, pemilihan tayar atau ketika di litar."

Rakan senegara yang masih mampu memberikan cabaran untuk merangkul gelaran keseluruhan, Azlan Shah Kamaruzaman (BikeART Racing Kawasaki), mencatat masa kelima terpantas dengan catatan 1'39.898s, manakala pelumba Kejuaraan SuperSports Dunia (WSS) negara, Zulfahmi Khairuddin, yang beraksi sebagai peserta wildcard turut memberikan saingan apabila sekadar ketinggalan 0.765s di belakang pendahulu dengan catatan 1'40.351s.

"Saya gembira dengan peluang beraksi di Buriram minggu ini. Saingan hari pertama agak baik untuk saya dan masih banyak ruang untuk diperbaiki memandangkan ini kali pertama saya beraksi dengan jentera pasukan BikeART Racing Kawasaki ini.

"Pasukan telah bertungkus-lumus untuk menyediakan jentera terbaik dan saya jangka dapat memberikan aksi lebih baik dalam sesi kelayakan esok," jelas Zulfahmi.

Saingan kelas SuperSports 600cc dikuasai juara keseluruhan, Apiwat Wongthananon (Yamaha Thailand Racing Team), dengan masa 1'53.920s, diikuti pelumba Yamaha Racing Indonesia, Galang Hendra Pratama dan Takehiro Yamamoto (TRICKSTAR Racing), masing-masing dengan catatan 1'55.594s dan 1'55.968s.

Pendahulu, Wahyu Aji Trilaksana (TPK48 BKMS Indonesia) muncul pelumba terpantas kelas Underbone 130cc dengan masa 2'09.309s, diikuti dua pelumba Malaysia, Ahmad Fazli Sham (UMA Racing Yamaha Maju Motor) dan Md Shah Khairil Hisham (FELDA PB Racing), dengan masa 2'10.719s dan 2'11.363s.