"Bukan bantuan kewangan yang dipinta sebaliknya hanya kelonggaran untuk beroperasi."

Itu rintihan penganjur perlumbaan Cub Prix Malaysia, Two Wheel Motor Racing (TWMR) bagi membela nasib mekanik, pegawai dan pelumba yang terjejas susulan pandemik Covid-19.

Nasib kira-kira 800 pekerja yang terlibat dalam industri sukan permotoran tempatan akan terjejas sekiranya saingan Cub Prix musim ini dibatalkan.

Sebagai penganjur, TWMR sedar akan kepentingan arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan PKP, namun mereka mengemukakan beberapa cadangan sekiranya statistik jangkitan Covid-19 di Malaysia semakin pulih.

Antaranya dengan mengadakan saingan secara tertutup di negeri-negeri yang terlibat atau kesemua sepuluh pusingan musim ini diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tanpa kehadiran penonton.

"Buat masa ini, kami tidak dapat menentukan hala tujunya sehingga kami menyedari bahawa kami tidak lagi boleh beroperasi," kata Ketua Bahagian Promosi TWMR, Ron Hogg.

"Sebagai organisasi, kami mempunyai beratus kakitangan, jadi ia akan menjadi satu kebimbangan jika kami tidak dapat beroperasi.

"Kami lebih gembira jika dapat mengekalkan segala-galanya seperti biasa.

"Kami hanya perlu melihat kepada situasi itu apabila ia dibangkitkan.

"Sudah pasti kami sentiasa melihatnya secara keseluruhan.

"Tetapi sasarannya adalah untuk meneruskan sukan ini demi menyelamatkan semua pihak yang terlibat dalam industri ini," katanya.