Biarpun sudah mengesahkan status sebagai juara keseluruhan kelas CP115, Tengku Amirul Haffirudin tidak memandang mudah saingan pusingan kesembilan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, hujung minggu ini.

Pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang itu terus dahagakan kemenangan sekalipun telah bergelar juara lebih awal setelah mengumpul 188 mata hasil tujuh kemenangan dan satu di tempat keempat sepanjang lapan pusingan, jauh mengatasi rakan sepasukan, Md Fareez Afeez, di kedudukan kedua dengan 116 mata.

Selain gelaran keseluruhan individu, pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang turut mengesahkan status sebagai juara keseleluruhan berpasukan dengan mengumpul 304 mata setakat ini.

“Misi saya adalah untuk terus meraih kemenangan dalam baki dua perlumbaan terakhir musim ini.

"Pada masa sama, saya merancang strategi untuk membantu Fareez kekal di tangga kedua keseluruhan,” jelas Tengku Amirul.

“Walaupun sudah bergelar juara keseluruhan, ini tidak bermakna saya memandang mudah saingan minggu ini.

"Saya mempunyai misi untuk menamatkan musim ini dengan sembilan kemenangan," tambahnya.

Menurut pemilik pasukan YY Pang, Pang Yoke You, Tengku Amirul akan kekal beraksi dalam saingan CP115 dalam baki dua perlumbaan terakhir musim ini.

“Kami mahu dia terus bersaing merebut kemenangan.

"Tentang saingan kelas CP150, semuanya akan diputuskan kemudian dan bukannya ketika ini,” jelasnya.