Pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing sudah melakukan persiapan awal untuk menghadapi kategori baru Cub Prix 2020 bagi mengelakkan peristiwa duka pada 2017 berulang.

Sejak kategori perdana, CP150, diperkenalkan bagi menggantikan kategori CP130 pada 2017, pasukan yang dimiliki Shahrol Yuzy Ahmad Zaini itu memerlukan dua musim untuk meraih kedudukan podium.

Dalam saingan baru musim depan, giliran kategori CP115 pula dinaik taraf menjadi CP125 dan Shahrol Yuzy sudah bersedia dengan perancangan rapi agar dapat terus bersaing dalam kategori itu.

"Pada dasarnya, kami agak risau tetapi disebabkan jentera Honda dan Yamaha dalam CP125 menggunakan spesifikasi yang sama, kerisauan itu tidak sama seperti dalam CP150.

"Bagi CP150, terdapat dua karakter (enjin) yang berbeza, iaitu cam(shaft) tunggal dan cam berkembar.

"Dalam CP125, kedua-duanya (jentera) menggunakan cam tunggal, jadi gerek dan lejangnya juga sama," katanya.

Kalender perlumbaan akan membuka tirai di Litar Tangkak, Johor pada 14 Mac depan.

Tiada sebarang perubahan drastik dalam senarai pelumba pasukan itu dengan anaknya, Shahrol Syazras Shahrol Yuzy, akan bergandingan dengan Aiman Azman dalam kategori CP125 manakala Zaqhwan Zaidi kekal mengetuai cabaran dalam CP150.

"Kami tidak membawa masuk pelumba baru.

"Kami mengekalkan pelumba sedia ada.

"Kami juga akan berlumba di peringkat Asia dengan pelumba yang sama.

"Mungkin kami akan menyediakan pasukan pembangunan dalam musim 2020 tetapi masih belum pasti," tambahnya.


Editor: Muzaffar Musa