Md Syafieq Aiman Fauzi dilihat mampu untuk menjadi pencabar utama dan melakar kejutan dalam kategori Wira Pusingan Keenam, Perlumbaan PETRONAS AAM Cub Prix Malaysia di Bandar Jasin Bestari, Jasin, Melaka, hujung minggu ini.

Lebih-lebih lagi, Syafieq cemerlang dengan dua penamat podium dalam perlumbaan lalu.

Nama pelumba Elf Koyoko KC Racing itu sebelum ini kurang diberi perhatian berbanding pelumba-pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – Afb Tech) dan Idemitsu Kozi Yam Honda Racing).

Namun, selepas lima pusingan, Syafieq kini meraih dua podium sebagai naib juara dalam Pusingan 4 (Teluk Intan) dan Pusingan 5 (MAEPS) serta dua kedudukan keempat dalam dua pusingan pertama musim 2017.

Ketika ini, Syafieq menghuni tangga ketiga keseluruhan dengan 62 mata, berkongsi mata bersama Saiful Azhary Muhamad, 24 mata di belakang pendahulu, Md Aiman Tahiruddin, yang mengumpul 86 mata.

“Tahun ini merupakan tahun ketiga saya dalam kategori Wira, banyak pengalaman yang telah dipelajari sepanjang dua tahun lepas.

"Prestasi pasukan juga semakin baik dan mereka telah menyediakan jentera yang berdaya saing,” jelas pelumba berusia 16 tahun itu.

“Walaupun telah meraih dua podium, saya selesa bergelar pelumba ‘underdog’ memandangkan Aiman dan Saiful lebih menjadi perhatian untuk mengejar gelaran keseluruhan.

"Strategi saya hanyalah memberikan aksi terbaik dan cuba untuk memenangi perlumbaan dahulu,” tambahnya.