Kejuaraan Cub Prix 2020 mempunyai sinar harapan untuk kembali berlangsung selepas beberapa kejohanan sukan seperti Liga Sepak Takraw (STL) kembali bermula Isnin ini.

Bagaimanapun, keputusan itu akan diumumkan tiga hari lagi dan baki perlumbaan tersebut dijadualkan berlangsung setiap hari selama seminggu.

"Berdasarkan pengumuman MKN (Majlis Keselamatan Negara) dua hari lalu, kebenaran untuk sukan dilangsungkan tanpa penyokong akan diberikan.

"Kami masih menunggu pengesahan daripada MKN dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) yang difahamkan akan diketahui Isnin ini.

"Perlumbaan dijangka dilangsungkan pada akhir minggu depan dengan format baru yang akan kami bincangkan dengan pasukan," kata Pengarah Urusan Safe Aim Mutual (SAM), Ron Hogg.

Tambahnya lagi: "Kami juga ada buat gelembung perjalanan kepada pasukan dari luar Lembah Klang memandangkan semua perlumbaan akan dilangsungkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

"Kami akan habiskan baki empat pusingan ini dalam masa tujuh hari.

"Latihan dan perlumbaan akan diadakan selama tiga hari pertama kemudian berehat sehari sebelum meneruskan latihan dan perlumbaan dalam masa tiga hari."