PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing mahu mengaut kedudukan podium bagi semua kategori, menjelang pusingan pertama Cub Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini.

Yamaha-CKJ bakal menjadi tumpuan menjelang pusingan pertama hujung minggu ini apabila turun selaku juara keseluruhan pasukan 2019.

Ditambah dengan kehadiran juara bertahan bagi kategori CP150, Ahmad Afif Amran, yang bakal mengetuai cabaran Yamaha-CKJ.

"Bagi saya, untuk kategori Suppa (CP150) sekiranya mendapat kedudukan tempat lima teratas sudah memadai kerana pengumpulan mata adalah sangat penting bagi saya.

"Kebanyakan pasukan telah membuat perubahan yang besar setiap tahun terutamanya untuk tahun ini dan kami tidak tahu bagaimana strategi pasukan lain. Jadi apa-apa pun boleh berlaku di perlumbaan pusingan pertama.

"Kita boleh lihat bagi jentera Honda dan Yamaha telah membuat persedian awal bagi mengharungi musim ini," kata juara bertahan bagi kategori CP150, Ahmad Afif Amran.

Di samping itu, pelumba muda, Ahmad Syukran Aizat, juara kategori CP115 musim lalu akan harungi cabaran apabila beralih ke kategori baru CP125 yang diperkenalkan penganjur musim ini.

"Saya dan pasukan telah ada stategi yang tersendiri, jadi saya berharap agar stategi ini akan berjalan dengan baik seperti dirancang,"

Meskipun tidak berlumba atau terlibat dengan sebarang aktiviti permotoran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pasukan yang berpengkalan dari Terengganu ini telah membuat pelbagai penyelidikan dan pembangunan, khusus untuk kategori CP125 yang menelan pembelanjaan sebanyak RM50,000 untuk sebuah jentera.

"CP125 merupakan kategori yang berbeza dari sebelum ini kerana ia menggunakan 'injection system' dan menggunakan sistem elektronik yang banyak. Kos permulaan yang tinggi," kata pengurus teknikal pasukan, Mohammad Syafari Saad.