Cub Prix Malaysia merakamkan kesedihan terhadap pemergian pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ, Mohd Hafiz Nor Azman.

Allahyarham Hafiz, 22, meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 di Dataran Bandar Penawar, Johor, kira-kira jam 4 petang, semalam.

Difahamkan, Hafiz disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Kota Tinggi.

"Seluruh keluarga Cub Prix Malaysia menanggung kesedihan yang mendalam terhadap pemergian pelumba berbakat besar, Allahyarham Mohd Hafiz Nor Azman, yang meninggal dunia akibat kemalangan dalam perlumbaan pusingan ke-10, semalam.

"Segala butiran, bahan bukti dan laporan melibatkan insiden itu sudah diserahkan kepada pihak berkuasa -- Badan Tertinggi Sukan Permotoran Malaysia (AAM) dan pihak polis tempatan.

"Safe Aim Mutual Sdn Bhd, sebagai badan bertanggungjawab mempromosi Cub Prix Malaysia serta pihak penganjur, Kelab Permotoran Pulau Pinang, mengalu-alukan keperluan pihak AAM untuk menyiasat dan menganalisis perkara itu setelah kesemua laporan dilengkapkan.

"Pihak Cub Prix Malaysia mengambil peluang ini untuk berterima kasih kepada kesemua pihak yang menawarkan diri untuk membantu menyelesaikan perkara ini," kata Pengarah Cub Prix Malaysia, Ron Hogg, dalam satu kenyataan hari ini.

Turut sama merakamkan kesedihan adalah PETRONAS selaku pasukan majikan buat Allahyarham Hafiz.

"PETRONAS dengan penuh perasaan sedih mengumumkan pemergian pelumba kami, Allahyarham Mohd Hafiz Nor Azman, daripada pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ, yang terlibat dengan insiden kemalangan perlumbaan pusingan ke-10 Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Dataran Bandar Penawar, Johor, semalam.

"Kami mengucapkan takziah buat seluruh keluarga dan rakan-rakan Allahyarham Hafiz.

"Doa dan ingatan kami sentiasa bersama mereka ketika melalui waktu sukar ini," kata kenyataan rasmi PETRONAS.