Saingan kelas perdana, CP150, Kejuaraan Cub Prix (CP) Malaysia 2020 semakin menarik apabila pendahuluan Azroy Hakim Anuar dirampas Md Helmi Azman yang meraih kemenangan dalam pusingan ketujuh di Litar Sepang Utara, hari ini.

12 mata kini memisahkan kedua-dua pelumba itu menjelang perlumbaan terakhir esok.

Ini bermakna masing-masing memiliki peluang untuk muncul juara tetapi andai Azroy Hakim menang, Helmi tetap ada peluang dengan syarat perlu menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga.





Meskipun bermula di petak kelima, Md Helmi Azman berjaya menghidu ruang di selekoh pertama. Bagaimanapun, penguasaannya tidak kekal lama apabila Md Akid Aziz dan Azroy Hakim pantas menghampiri posisinya sebelum melakukan pintasan ketika memasuki pusingan kedua.

Cabaran sengit turut diberikan pelumba senior, Ahmad Fazli Sham, sementara Haziq Md Fairus dan Muzakir Mohamed di kelompok hadapan selepas empat pusingan.

Malang buat Ahmad Fazli Sham apabila terjatuh dalam pusingan kelapan ketika dia berada di posisi ketiga lalu memberi peluang kepada Md Izzat Zaidi Salehan untuk memintas.

Hujan lebat nyata tidak menghalang pecutan pelumba-pelumba yang menyaksikan kedudukan pendahulu sentiasa berubah.

Ketika menuju ke pusingan terakhir, Aiman Tahiruddin sempat memimpin perlumbaan tetapi terjatuh di selekoh kedua untuk Helmi Azman kembali memimpin.

Dia terus berada di depan sambil dicabar hebat Afendi Rosli ketika menuju ke garisan penamat.

Afendi hampir mencuri kesempatan itu tetapi pelumba Hi-Rev SCK Honda Racing berkenaan mengekalkan kedudukannya untuk muncul juara pusingan ketujuh kelas CP150.

[CP150] Kemenangan ke -4 buat Helmi Azman! Ini meletakkan Helmi selaku pendahulu kedudukan keseluruhan CP150 dengan...

Posted by Malaysian Cub Prix on Wednesday, December 23, 2020