Cub Prix: Penganjuran November depan mungkin terlalu lambat

Oleh Muzaffar Musa 20 Mei 2020 15
Cub Prix: Penganjuran November depan mungkin terlalu lambat
Usaha untuk menganjurkan sukan permotoran negara pada November depan mungkin terlalu lambat untuk menyelamatkan pasukan dan kru yang berkemungkinan hilang mata pencarian dalam industri berkenaan.

Sebelum ini, Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) mendedahkan tiada bantuan khusus buat pasukan dan pelumba sepanjang pandemik Covid-19 yang menjejaskan negara ketika ini.

Bagaimanapun, ada usaha untuk mempercepatkan penyediaan garis panduan supaya penganjuran perlumbaan itu dapat dilaksanakan.

Namun, usaha MAM itu mungkin terlalu lambat untuk menyelamatkan mata pencarian penggiat sukan permotoran tempatan, terutama dalam saingan Cub Prix Malaysia.

"Kebanyakan yang terlibat dalam sukan permotoran di Malaysia bekerja secara sepenuh masa sebagai mekanik perlumbaan," kata Ketua Mekanik Idemitsu Honda Yuzy Racing Team, Rosi Mohamad.

"Sudah pasti kami yang terlibat dalam sukan permotoran ini terjejas dengan Covid-19.

"Daripada segi sumber pendapatan, kami mungkin akan kehilangan pekerjaan.

"Sudah hampir empat bulan kami tidak bekerja," katanya.

Pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Moto, Akid Aziz, menambah: "Sudah lama saya tidak membawa motor, latihan juga masih belum bermula.

"Apabila lama tiada perlumbaan seperti ini, sudah pasti saya rindu."

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen