Cub Prix: Pelumba Terengganu kuasai Pusingan 7 

Oleh Penulis Jemputan 6 Oktober 2018 209
Cub Prix: Pelumba Terengganu kuasai Pusingan 7 
Pelumba tuan rumah mempamerkan aksi cemerlang di halaman sendiri apabila menguasai dua kategori utama Pusingan 7, Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Pelumba kelahiran Dungun, Ahmad Afif Amran, muncul juara kategori CP150 dan turut menamatkan penantian untuk meraih gelaran juara di halaman sendiri sepanjang penglibatan dalam Kejuaraan Cub Prix bermula tahun 2009.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing itu mempamer aksi bertenaga apabila mendahului keseluruhan 20 pusingan perlumbaan sebelum melintasi garisan penamat dengan masa keseluruhan 13 minit 40.445 saat meskipun diberi tentangan sengit pada penghujung perlumbaan oleh Md Akid Aziz (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju).

Akid menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua dengan masa 13:40.542s, diikuti rakan sepasukan, Kasma Daniel Kasmayuddin, ketiga dengan masa 13:44.347s.

“Perlumbaan ini sangat sukar walaupun saya mendahului keseluruhan perlumbaan. Kasma memberi tentangan sengit dan sentiasa cuba memintas pada awal perlumbaan.

"Selepas berjaya menjarakkan diri setelah dia melakukan kesilapan, Akid pula mengejar sehingga berjaya merapatkan kedudukan pada penghujung perlumbaan. Saya terpaksa bekerja keras dan mengerah pengalaman yang ada untuk mempertahankan kedudukan,” jelas Afif.

25 mata yang dipungut hari ini meletakkan Afif terus selesa mendahului kedudukan keseluruhan dengan 160 mata, 49 mata mengatasi Kasma di kedudukan kedua dengan 111 mata manakala rakan sepasukan Afif, Md Hafiz Nor Azman, di tangga ketiga dengan 103 mata.

Dalam kategori CP115, seorang lagi pelumba kelahiran Terengganu, Tengku Amirul Haffirudin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang), turut beraksi cemerlang, sekali gus terus melebarkan jurang pendahulu apabila berjaya meraih kemenangan keenam peribadi musim ini setelah menamatkan 15 pusingan perlumbaan dengan masa 10:47.978s.

Bermula dari petak pertama, Tengku Amirul bagaimanapun sedikit ketinggalan pada permulaan perlumbaan sebelum kembali memintas pada penghujung perlumbaan dan seterusnya mmenangi perlumbaan mengatasi Nazirul Izzat Md Bahauddin (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing) di kedudukan kedua dengan masa 10:48.925s. Tempat ketiga milik Md Syafiq Rosli (PRK) ELF Koyoko Honda KC Racing dengan masa 10:49.024s.

Seepas tujuh pusingan, Tengku Amirul kini selesa mendahului kedudukan keseluruhan dengan 163 mata, 67 mata mengatasi rakan sepasukan, Md Fareez Afeez, di kedudukan kedua dengan 96 mata manakala Md Haziq Md Fairues (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) ketiga, 92 mata. Hanya lapan mata diperlukan oleh Tengku Amirul bagi dinobatkan selaku juara keseluruhan musim 2018.

Sementara itu, ketiadaan pendahulu keseluruhan, Md Danial Syahmi, membuka laluan mudah buat Md Syarifuddin Azman (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) untuk meraih kemenangan keempat berturut-turut dalam kategori WIRA KBS apabila selesa mengungguli 12 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 8:46.717s.

Md Alif Ashraf Tahiruddin (PETRONAS Sprinta Yamaha) muncul naib juara dengan masa 8:52.974s, diikuti Md Harith Haziq Zamri (SIC Junior Team AFB Tech Racing) di kedudukan ketiga dengan 8:53.275s.

Danial masih kekal sebagai pendahulu keseluruhan dengan 113 mata, namun diekori rapat oleh Alif Ashraf dengan 112 mata, diikuti Syarifuddin di tangga ketiga dengan 108 mata.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen