Kejayaan pelumba pasukan Petronas Yamaha CKJ, Afif Amran, memenangi perlumbaan terakhir saingan Cub Prix di Taiping memberikan sedikit keceriaan buatnya selepas mengalami musim yang kurang menentu.

Tanpa diduga, Afif memanfaatkan peluang untuk menjuarai perlumbaan pusingan ke-10 di Taiping selepas masalah jentera mengakibatkan pelumba pilihan, Kasma Daniel Kasmayuddin, gagal menamatkan perlumbaan.

Ia merupakan kemenangan tunggal buat Afif musim ini dan memberikannya makna tersendiri untuk menutup musim kurang konsisten.

"Kejayaan memenangi perlumbaan ini merupakan hadiah buat pasukan, ia kemenangan sulung kami. Walaupun gagal memenangi menjuarai secara keseluruhan, ini satu kejayaan yang cukup baik," jelasnya.

Biarpun gagal menambah koleksi kemenangan dalam saingan musim ini, Kasma Daniel tetap meraih kepuasan peribadi apabila bergelar juara keseluruhan CP130.

Pada usia 16 tahun dua bulan, dia merupakan pelumba termuda untuk menjuarai gelaran berkenaan, mengatasi rekod yang dipegang Hafizh Syahrin, yang berusia 16 tahun 10 bulan ketika bergelar juara pada 2010.

"Tahun lepas, saya memenangi tujuh perlumbaan dalam kategori CP115, tahun ini saya mahu mendapatkan kemenangan keseluruhan buat kali ketiga," ujar Kasma Daniel.

Selain Kasma Daniel, pasukan Petronas Yamaha Maju Motor turut cemerlang dalam kategori CP115 apabila pelumbanya, Akid Aziz, bergelar juara keseluruhan.

Lebih menakjubkan, itu merupakan musim pertama Akid selaku pelumba CP115 dan dia membuktikan bahawa kekurangan pengalaman tidak menjadi halangan.

Ia turut menyaksikan Petronas Yamaha Maju Motor menguasai empat trofi utama perlumbaan apabila menjadi pasukan terbaik masing-masing bagi kategori CP130 dan CP115.

Keputusan ini adalah di luar jangkaan pengurusnya, Yong Ying Hoe, yang menyifatkan kualiti pelumba-pelumba muda pasukannya banyak memainkan peranan.

"Dengan pelumba baru seperti Haziq dan Akid, mereka telah mempamerkan aksi yang cemerlang, Kasma Daniel juga membuktikan kebolehan memenangi perlumbaan, ini merupakan rezeki buat kami," kata Ying Hoe."