"Kami perlu teruskan demi sesuap nasi."

Demikian luahan komuniti sukan permotoran dua roda negara, yang diwakili pemilik pasukan Honda Yuzy Racing, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini.


Shahrol Yuzy merayu agar kerajaan mempertimbang untuk membenarkan saingan Cub Prix Malaysia diteruskan selepas tamat tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Kebimbangannya pada ketika ini adalah mengenai hala tuju perlumbaan berkenaan yang turut terkesan akibat pandemik Covid-19.

Walaupun PKP akan ditamatkan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak, ia masih tidak menjamin sebarang penganjuran acara sukan dapat diteruskan.

Justeru, dia rela saingan musim ini dianjurkan tanpa kehadiran penonton memandangkan ia merupakan "periuk nasi" buat komuniti sukan permotoram dua roda tempatan.

"Sekiranya tiada sebarang perlumbaan sehingga Jun atau Julai depan, ia bermakna duit penajaan mungkin tidak lagi masuk bagi tahun ini.

"Jadi, dari Julai hingga hujung tahun ini, kami tiada dana untuk membayar gaji kru dan pelumba.

"Ia memberikan kesukaran buat kami.

"Kami harap dapat mengadakan perlumbaan walaupun tanpa penonton kerana ia amat penting," katanya.

Terdahulu, penganjur Cub Prix Malaysia, Two Wheel Motor Racing (TWMR), turut merayu agar kerajaan memberikan kelonggaran supaya perlumbaan itu dapat diteruskan selepas PKP.

Antara cadangan yang diutarakan TWMR adalah mengadakan keseluruhan 10 pusingan musim ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

"Mungkin ada yang berlumba kerana hobi tetapi buat kami di Cub Prix, ia merupakan periuk nasi untuk kami mencari makan.

"Jika tiada perlumbaan, kami tidak dapat mencari makan.

"Jadi kami mengharapkan wang penajaan untuk meneruskan hidup," tambahnya.