Beberapa peraturan teknikal khususnya di dalam kategori CP150 akan dikaji dan dipinda sebelum bermulanya saingan Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang dijadualkan berlangsung selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Pindaan ke atas peraturan perlumbaan jarang dilakukan pada pertengahan musim namun terdahulu, kesemua pasukan sudah menyatakan persetujuan untuk melakukan pindaan terhadap peraturan teknikal jentera pada pertengahan musim sebaik kategori CP150 mula berlangsung pada tahun ini.

Pengumpulan data terhadap kategori baharu perlu dilakukan sebelum sebarang pindaan peraturan dilakukan terutama dengan teknologi terkini dalam kelas CP150 dalam usaha untuk memastikan persaingan yang lebih sengit dan seimbang diantara pasukan-pasukan bertanding.

"Matlamat utama adalah untuk meningkatkan tahap persaingan dan perlumbaan lebih seimbang di dalam kelas CP150. Kami berharap kaedah-kaedah atau peraturan baharu yang diumumkan nanti akan diterima oleh semua pasukan," jelas Ron Hogg, Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, promoter perlumbaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia.

Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dijadualkan berlangsung di MAEPS, Serdang, Selangor, 15 - 16 Julai depan.