Cub prix: Helmi sedia tangani cabaran di Tangkak

Oleh Bernama 21 Ogos 2020 9
Cub prix: Helmi sedia tangani cabaran di Tangkak
Selepas beraksi cemerlang dalam pembukaan musim di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bulan lepas, pelumba Hi Rev Honda SCK Racing Mohd Helmi Azman, bertekad untuk mengatasi cabaran yang menanti di Litar Lumba Tangkak dalam pusingan kedua, hujung minggu ini. 

Bagi pendahulu perlumbaan CP150 Kejohanan Cub Prix Malaysia Petronas, Litar Lumba Tangkak sepanjang 1.1 km di Gerisik, Johor tidak begitu “mesra” kepadanya tetapi beliau masih berharap untuk mendapatkan penyudah podium atau sekurang-kurangnya berakhir dengan kedudukan lima teratas bagi mengekalkan kedudukannya sebagai pendahulu kejohanan. 

“Secara strategik, Tangkak merupakan kunci bagi saya mendapatkan kejuaraan CP150 sulung saya tahun ini, kerana kami akan berlumba sebanyak tiga kali di sini musim ini.  Pasukan ini sememangnya berkeyakinan dengan keupayaan jentera kami di SIC.

Tetapi dengan begitu banyak pelumba yang mampu memberi saingan dalam kejohanan ini, kami tidak boleh bergantung kepada kelebihan di Sepang sahaja. Ini merupakan langkah pertama buat kami mencipta keputusan lebih baik di Litar Lumba Tangkak, kata pelumba berusia 21 tahun itu  dalam satu kenyataan.  

Pada 2019, Helmi  kemalangan pada Pusingan Ketiga dan menamatkan perlumbaan di tempat Ke-12 di Pusingan Kelapan semasa dua pusingan daripada 10 pusingan perlumbaan berlangsung di Litar Lumba Tangkak. 

Selepas memenangi pusingan pembukaan di Sepang, Helmi mendahului kejuaraan dengan 25 mata, dengan kelebihan lima mata daripada pelumba AHM Motorsports, Md Khairul Ikhwan Ajis.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen