Peminat sukan permotoran tanah air boleh tersenyum semula apabila Kejuaraan Cub Prix 2020 kembali membuka tirai pada Jumaat ini dan berakhir Khamis depan.

Pengarah perlumbaan, Ron Hogg, meluahkan keterujaannya kepada wakil Astro Arena, Muiz Aziz, selepas beberapa usaha yang dijalankan bagi menyakinkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akhirnya mendapat lampu hijau.

Sebelum ini, kejuaraan itu ditunda beberapa bulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang menghalang perlumbaan daripada berlangsung.

Bagaimanapun, selepas mendapat kebenaran untuk kembali membuka tirai, empat pusingan terakhir musim ini akan diselesaikan dalam perlumbaan selama enam hari berturut-turut di Litar Sepang Utara.

"Kami baru terima hitam putih daripada MKN untuk kebenaran menganjurkan Cub Prix.

"Berdasarkan cadangan format yang telah kami kemukakan kepada KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MKN untuk habiskan baki empat pusingan perlumbaan, mereka telah bersetuju.

"Kami akan teruskan perlumbaan,. Kami telah maklumkan kepada semua pasukan dan mereka sebenarnya sudah sedia maklum, cuma hanya tunggu kebenarannya sahaja," katanya ketika dihubungi.

#RaceOn! Finale Cub Prix dah boleh start! Yay!!!!! Terima kasih Reezal Merican Naina Merican, KBSMalaysia, Ismail Sabri...

Posted by Malaysian Cub Prix on Tuesday, December 15, 2020




Biarpun terdapat segelintir pihak yang khuatir prosedur operasi standard (SOP) perlumbaan itu mungkin membebankan, Ron menjelaskan semua pasukan telah bersetuju bahawa ia cara paling terbaik untuk menamatkan musim Cub Prix 2020.

"Mereka akan ke sini untuk tempoh seminggu mengikut SOP awam berikutan perjalanan merentas negara dan bermacam-macam aktiviti lagi sudah dibenarkan pada masa ini.

"Jadi mereka tidak perlu lagi berkampung di satu hotel. Ia merupakan cadangan awal jika ada kami keperluan untuk uruskan, tetapi nampaknya kami tidak perlu gunakan SOP tersebut."