Md Akid Aziz sekali lagi membuktikan kehandalannya apabila muncul pelumba terpantas sesi kelayakan buat kali keempat berturut-turut dalam kategori CP150 dalam Pusingan 7, Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu mencatat masa terbaik 40.440s di litar sepanjang 0.9 kilometer itu yang juga merupakan catatan terpantas sesi kelayakan buat kali kelima dalam tujuh pusingan perlumbaan setakat ini.

Juara CP115 musim 2017 dan juga juara keseluruhan Underbone 150 Kejuaraan Motosikal Asia 2017 itu mendahului catatan 40.502s yang dilakukan oleh Md Hafiz Nor Azman (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing) manakala rakan sepasukan Akid, Kasma Daniel Kasmayuddin, mencatatkan masa terbaik 40.526s.

Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing) muncul pelumba terbaik kem Honda setelah muncul pelumba keempat terpantas dengan masa 40.552s.

Pendahulu keseluruhan, Ahmad Afif Amran, yang menguasai kedua-dua sesi latihan bebas di sebelah pagi muncul pelumba kelima terpantas dengan catatan 40.650s.

“Jentera berada dalam keadaan terbaik dan saya hanya melakukan tugas saya seperti biasa untuk memberikan yang terbaik ketika di litar.

"Keputusan ini memberikan saya keyakinan untuk merebut petak pertama ketika sesi Superpole esok dan seterusnya memburu kemenangan pertama saya dalam kelas perdana musim ini,” jelas Akid.

Sementara itu, sesi kelayakan CP115 menjadi milik Tengku Amirul Haffirudin dari pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang dengan catatan masa 42.407s, diikuti Md Haziq Md Fairues kedua, 42.572s, dan Md Shafiq Ezzariq ketiga, 42.679s.

Dalam kategori WIRA KBS, Md Syarifuddin Azman (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) bakal memulakan perlumbaan dari petak pertama setelah mencatat masa terpantas dalam sesi shootout dengan masa 42.933s, diikuti Md Faiz Zekri Sabri, 43.516s, manakala Md Harith Haziq Zamri di petak ketiga dengan masa 43.548s.