Ahmad Afif Amran terus tampil dengan aksi terbaik apabila mencatat masa terpantas dalam sesi kelayakan CP150 dalam Pusingan 9, Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, hari ini.

Dalam aksi kelayakan di litar basah, pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing itu mencatat masa terpantas 46.207 saat untuk mengatasi rakan sepasukan, Md Hafiz Nor Azman, yang mencatat masa terbaik 46.746s, diikuti Kasma Daniel Kasmayuddin (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) ketiga dengan masa 46.770s.

Dengan lapan podium yang diraih musim ini, Afif kini hanya memerlukan penamat di tempat kesembilan untuk mengesahkan gelaran keseluruhan, namun pelumba kelahiran Terengganu itu tidak mahu memandang mudah perlumbaan kali ini, khususnya dalam usaha untuk meraih gelaran keseluruhan individu dan berpasukan.

Terlebih dahulu, Afif turut merekodkan catatan terpantas litar, 44.986s, untuk mengatasi catatan milik Kasma musim lalu.

“Saya tidak boleh berasa selesa dengan kelebihan ketika ini, jadi saya memilih untuk terus memberikan aksi terbaik memandangkan pasukan kami juga sedang berjuang untuk memenangi gelaran juara berpasukan,” jelas Afif.

“Ketika ini, kami hanya mempunyai kelebihan 50 mata, namun pencabar utama, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, menampilkan aksi terbaik mereka sepanjang beberapa pusingan lalu.

"Kami tidak boleh kehilangan banyak mata, jadi saya dan Hafiz perlu mencari penamat terbaik dan jika kami berdua dapat menamatkan saingan di atas podium, gelaran pasukan terbaik akan menjadi milik kami.”

Dalam saingan CP115, Md Aiman Azman (Idemitsu Honda GiVi Yuzy Racing Team) tampil dengan aksi terbaik apabila muncul pelumba terpantas dengan catatan 49.564s, diikuti Md Syafiq Rosli (ELF Koyoko Honda KC Racing), 49.596s, dan Md Fareez Afeez (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) ketiga, 49.601s.

Sementara itu, Md Syarifuddin Azman (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) muncul pelumba terpantas sesi Shootout dan akan memulakan perlumbaan akhir WIRA KBS dari petak pertama setelah mencatat masa terpantas 48.756s, diikuti Daniel El Fahim (SIC Junior Team AFB TECH Racing) kedua, 49.608s dan Md Faiz Zekri Sabri (ONEXOX Racing Team) ketiga, 49.675s.


KELAYAKAN

CP150

1
Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ: 46.207s

2
Md Hafiz Nor Azman (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ: 46.746s

3
Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor: 46.770s

4
Azroy Hakeem Anuar (KUL) Idemitsu Honda GiVi Yuzy Racing: 46.993s

5
Md Ramdan Rosli (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor: 47.302s



CP115
1
Md Aiman Azman (SGR) Idemitsu Honda GiVi Yuzy Racing Team: 49.564s

2
Md Syafiq Rosli (PRK) ELF Koyoko Honda KC Racing: 49.596s

3
Md Fareez Afeez (JHR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing: 49.601s

4
Nazirul Izzat Md Bahauddin (MLK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing: 49.714s

5
Md Aliff Aiman Tumiran (JHR) Arata Fatt Fatt ASP JDT GL Team: 49.745s



WIRA KBS - SHOOTOUT
1
Md Syarifuddin Azman (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing: 48.756s

2
Daniel El Fahim (PNG) SIC Junior Team AFB TECH Racing: 49.608s

3
Md Faiz Zekri Sabri (PNG) ONEXOX Racing Team: 49.675s

4
Md Afizi Supaat (SGR) ELF Koyoko Honda KC Racing: 50.000s

5
Md Idil Fitri Mahadi (SGR) SIC Junior Team AFB TECH Racing: 50.256s