Hasrat Mohd Adib Rosley untuk meraih kemenangan pertama buat pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang dalam CP150 berakhir apabila terpaksa menarik diri daripada pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Dataran Bandar Penawar, Johor, Sabtu dan Ahad ini.

Pelumba berusia 23 tahun itu dilihat berada pada prestasi terbaik untuk mendapatkan kemenangan pertama bagi pasukannya apabila muncul antara pelumba terpantas sepanjang beberapa pusingan lalu, namun terpaksa berehat untuk tempoh panjang setelah mengalami retak tapak kaki akibat terjatuh ketika sesi kelayakan pusingan lalu di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, pelumba kelahiran Selangor itu yakin tanggungjawab itu mampu digalas rakan sepasukannya, Mohd Izzat Zaidi dan Mohamad Azhar Abdul Jalil, berdasarkan kepantasan jentera dan prestasi semasa mereka yang sentiasa menempatkan diri ke sesi Superpole.

“Saya sangat kecewa apabila terpaksa menarik diri daripada pusingan terakhir ini kerana gagal mencapai misi memenangi perlumbaan untuk pasukan. Saya minta maaf kepada pemilik pasukan, YY Pang, kerana kami bertiga masih gagal untuk meraih gelaran juara setakat ini.

“Saya yakin Izzat dan Azhar akan melaksanakan misi kami dalam pusingan terakhir nanti. Walaupun cedera, saya akan memberikan sokongan kepada mereka dan seluruh pasukan.

"Saya harap Tengku Amirul Haffiruddin, Mohd Fareez Afeez and Mohd Idil Fitri Mahadi juga mampu meraih kemenangan dalam kategori CP115,” katanya.

Adib merupakan pelumba terbaik pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang ketika ini apabila berada di kedudukan kelima keseluruhan dengan 67 mata, termasuk dua naib juara yang diraih pada pusingan kedua di Johor dan pusingan lapan di Jempol, Negeri Sembilan.

Sementara itu, Azhar berada di kedudukan keenam, 10 mata di belakang Adib. Izzat berada di kedudukan ke-11 dengan 41 mata manakala gelaran juara keseluruhan telah sah menjadi milik Kasma Daniel Kasmayuddin dengan 125 mata.