Sesuaikah penganjuran sukan bermotor pada Julai? Belum ada jawapan tetapi Persatuan Automobil Malaysia (MAM) mahu membuktikan sukan bermotor paling selamat dan tidak terdedah dengan penularan covid-19 serta mereka mahu acara sukan bermotor bermula sebelum tamat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Dalam satu sidang media hari ini, MAM telah membentangkan tatacara pemantauan yang dapat dijalankan pada hari perlumbaan yang merangkumi di luar dan dalam litar serta pada hari perlumbaan.

MAM berharap dapat memulakan perlumbaan nasional seawal bulan depan kerana covid-19 sukar menular dalam sukan permotoran memandangkan ianya adalah sukan tiada kontak.

Perlumbaan juga dijalankan pada siang hari yang merangkumi litar yang luas yang tertutup tanpa penonton. Pelumba-pelumba juga memakai sut dan helmet lengkap.

Hanya ada satu pintu masuk ke kawasan litar dengan hanya 10 individu mewakili setiap pasukan.

Suhu badan akan diambil sebelum masuk ke litar dan surat perakuan doktor juga diperlukan manakala individu terlibat perlu muat turun aplikasi "MyTrace"

Langkah kedua ialah sewaktu berada di dalam litar, perlu melakukan pendaftaran atas talian dan krew perlumbaan hanya boleh berada di kawasan yang dibenarkan sahaja.

Sementara itu, semua pasukan harus menyediakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer), topeng dan penutup muka. Tidak seperti perlumbaan-perlumbaan sebelum ini, katering tidak dibenarkan.

Bagi mengelak daripada berkumpul, kesemua sesi taklimat dan penerangan peraturan akan dilakukan secara atas talian, manakala sesi pemeriksaan jentera akan dilakukan di setiap pit mengikut penjarakkan sosial.

Penjarakan sosial sangat penting untuk dipraktikkan pada hari saringan dan perlumbaan, hanya pelumba yang terlibat dan media yang dilantik oleh penganjur dibenarkan hadir. Walaupun anti-klimaks -- tiada majlis penyampaian hadiah akan dilakukan.

Sebagai tambahan, klinik kesihatan litar akan dilengkapkan dengan Pakaian Perlindungan Diri (PPE), selain jarak 100 hingga 150 meter untuk marshal dan paramedik yang bertugas di lokasi sama.

Keseluruhannya, tidak lebih 300 orang bertugas dalam satu masa dan penalti akan dikenakan sekiranya melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Dengan SOP ini, MAM yakin untuk mengadakan perlumbaan secara berperingkat di Sepang, dengan pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).



Fasa pertama, perlumbaan go-kart, membabitkan kira-kira 50 jentera dan tidak melebihi 400 orang, ia akan diikuti perlumbaan nasional MCS dan Cub Prix, sebelum litar-litar lain bersedia untuk menganjurkan perlumbaan.