Valentino Rossi berkata wabak novel koronavirus (Covid-19) bermakna dia harus memutuskan masa depannya sebelum musim MotoGP 2020 bermula.

Penunggang tersohor dari Itali itu kehilangan kedudukan utama kepada Fabio Quartararo di kem Yamaha selepas pelumba muda tersebut menyerlah dalam kempen sulung tahun lalu selain diberi jaminan bakal menerajui pasukan berkenaan hingga 2021.

Yamaha sedia menawarkan kontrak baru kepada Rossi sekiranya dia ingin terus bersaing dengan menjanjikan "jentera YZR-M1 spesifikasi kilang" dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Januari lalu.

Rossi sebaliknya menangguhkan keputusan masa depannya hingga pertengahan musim ini berikutan penularan Covid-19, justeru dia mengakui mungkin membuat beberapa keputusan sebelum kembali ke perlumbaan kompetitif.

"Saya berada dalam situasi yang sukar kerana seperti yang saya pernah katakan, pilihan pertama saya ialah untuk cuba bersaing kerana saya mempunyai cukup motivasi dan saya mahu meneruskannya," katanya dalam wawancara di media sosial yang dianjurkan Yamaha.

"Tetapi, adalah sangat penting untuk memahami tahap daya saing, khususnya di pertengahan saingan tahun lalu. Kami amat menderita dan acap kali saya terlalu perlahan dan tidak dapat bersaing untuk lima kedudukan di depan.

"Jadi dalam fikiran, memandangkan saya mempunyai kontrak setahun lagi bersama Yamaha jadi saya memerlukan masa untuk membuat keputusan.

"Dan bagi saya, saya memerlukan lima atau enam perlumbaan untuk memahami sentuhan ketua mekanik baru (David Munoz) dan beberapa pengubahsuaian terhadap pasukan sekiranya mahu memantapkan aksi.

"Masalahnya ialah ketiadaan perlumbaan berikutan penularan virus. Sehubungan itu, saya harus memuktamadkan keputusan ini sebelum saingan bermula kerana dalam situasi ini, saya optimis perlumbaan dapat dianjurkan dalam separuh kedua musim ini.

"Kami berharap, jika semuanya baik, ia boleh diadakan sekitar Ogos atau September depan. Saya harus membuat keputusan itu. Bagaimanapun, saya mahu meneruskannya tetapi perlu membuat keputusan ini tanpa berlumba.

"Yang pasti, ini bukan cara terbaik untuk bersara kerana kami mungkin sama sekali tidak dapat beraksi sepanjang tahun ini.

"Lebih adil untuk menganjurkan saingan yang berbeza dan menamatkannya pada akhir tahun berikutnya. Jadi, saya berharap dapat meneruskan aksi pada 2021."