Pusingan pertama Kejohanan Cub Prix Malaysia 2020 yang dijadualkan diadakan di trek perlumbaan di Tangkak, Johor hujung minggu ini, ditangguhkan berikutan panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan untuk mengelakkan perhimpunan awam yang besar, pada masa ini.

Promoter Cub Prix Malaysia Two Wheels Motor Racing (TWMR) dalam satu kenyataan hari ini berkata, mereka akan terus berhubungan dengan kerajaan bagi memantau situasi semasa di setiap venue perlumbaan akibat kerisauan berkaitan penularan COVID-19.

“Semua pemegang taruh Kejohanan Cub Prix Malaysia sedang bekerja keras untuk cuba dan membolehkan sebanyak mungkin perlumbaan untuk diadakan. Dalam situasi ini, kami memikirkan kesihatan dan keselamatan peminat, pelumba, pasukan dan pegawai yang menjadi keutamaan utama,” menurut kenyataan tersebut.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam satu kenyataan hari ini menasihatkan orang ramai, untuk menangguhkan kesemua bentuk perhimpunan bagi meminimakan penularan COVID-19.

-- BERNAMA