Salah satu perlumbaan paling terkenal MotoGP, Grand Prix Itali di Mugello, telah dibatalkan untuk tahun ini.

Selepas ditangguhkan daripada tarikh asal pada 31 Mei lalu, acara itu kini dibatalkan akibat krisis coronavirus.

Ia merupakan kali pertama Grand Prix Itali tidak diadakan sejak ia menjadi acara tetap MotoGP pada 1991.

Penganjur mengumumkan keputusan itu semalam tatkala saingan musim ini terus terkesan dengan kehadiran Covid-19.

"Pihak FIM, IRTA dan Dorna Sports kesal untuk mengumumkan pembatalan Gran Premio d'Italia Oakley," kata wakil MotoGP.

"Sebelum ini ia ditangguhkan akibat coronavirus sehingga mengubah kalendar tetapi kini terpaksa dibatalkan."

Kempen 2020 masih belum bermula tatkala perlumbaan pertama dijadualkan pada 9 Ogos depan di Republik Czech.

"Satu keputusan berat untuk mengumumkan pembatalan saingan di Mugello," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dorna Sports selaku penganjur MotoGP, Carmelo Ezpeleta.

"Kami gagal mendapatkan penyelesaian untuk logistik dan operasi akibat daripada wabak ini serta perubahan kalendar yang membolehkan kami melawat venue musim ini.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada peminat kerana memahami dan bersabar tatkala kami cuba untuk memperbaiki situasi ini."