Ketua Eksekutif Formula Satu (F1), Chase Carey, yakin perlumbaan musim 2020 dapat dimulakan seawal Julai depan menerusi Grand Prix (GP) Austria.

Dengan kejuaraan tahun ini terjejas berikutan wabak novel koronavirus (Covid-19) , GP Perancis yang sepatutnya dianjurkan akhir Jun depan disahkan menjadi perlumbaan terbaru yang dibatalkan pada semalam.

Begitupun, perkembangan itu disusuli kenyataan positif daripada Carey apabila mengatakan barisan bos F1 optimis untuk mengadakan kempen yang merangkumi 15 hingga 18 perlumbaan.

Ketika ini, perlumbaan di Austria di antara 3 dan 5 Julai depan disasarkan untuk menjadi aksi pembuka tirai musim ini biarpun beberapa perlumbaan awal perlu diadakan tanpa kehadiran peminat di litar.

"Di sebalik pengumuman GP Perancis tidak akan diteruskan, kami semakin yakin dengan kemajuan perancangan yang dibuat untuk memulakan saingan baru pada musim panas kelak," katanya.



"Kami menyasarkan untuk memulakan perlumbaan di Eropah pada Julai, Ogos dan awal September depan dengan perlumbaan pertama adalah di Austria pada 3 hingga 5 Julai.

"September, Oktober dan November, akan menyaksikan kami bakal berlumba di Eropah dan Asia termasuk Amerika Syarikat (AS) sebelum kami memuktamadkan saingan musim ini di Teluk Asia pada Disember, iaitu di Bahrain sebelum perlumbaan finale yang lazimnya di Abu Dhabi, dengan mengharungi di antara 15-18 perlumbaan.

"Kami akan mengumumkan jadual itu secepat mungkin.

"Kami menjangkakan perlumbaan awal tanpa peminat, namun berharap mereka akan mengambil sebahagian selepas beberapa perlumbaan."

Carey, yang memuji semua pasukan atas usaha mereka menyokong pembinaan alat pengudaraan dalam memerangi Covid-19, menegaskan situasi kesihatan global akan dianalisis sepanjang masa.

"Kami masih perlu menyelesaikan banyak masalah seperti prosedur pasukan dan kehadiran rakan kongsi kami selain kaedah operasi di setiap negara," tambahnya.

"Kesihatan dan keselamatan semua orang yang terlibat akan terus menjadi keutamaan dan kami hanya akan meneruskannya jika kami yakin mengenai prosedur yang diperkenalkan bagi menangani sebarang isu risiko dan masalah.

"Semua perancangan ini boleh diubah memandangkan kami masih mempunyai banyak masalah yang harus ditangani dan kita sedang berhadapan dengan virus yang belum dapat dikenal pasti.

"Kita mahu dapat kembali ke dunia yang dikenali dan dihargai, namun kita harus sedar bahawa ia harus dilakukan dengan cara yang tepat dan paling selamat."