Perlumbaan Formula 1 (F1) musim 2020 mungkin melibatkan 15 hingga 18 perlumbaan dalam kalendar baru yang dirombak sehingga hujung tahun ini, kata Chase Carey.

Berikutan penularan wabak Covid-19, perlumbaan pembukaan F1 musim ini terpaksa ditunda dengan Grand Prix Azerbaijan menjadi perlumbaan terbaru yang terpaksa ditunda.

Perlumbaan pembukaan GP Australia pada 15 Mac lalu dan GP Monaco terpaksa dibatalkan dengan perlumbaan seterusnya dijadualkan di Kanada pada 14 Jun ini.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif F1, Carey, tidak mendedahkan sebarang perkembangan mengenai permulaan musim ini tetapi menjelaskan bahawa 10 pasukan dan FIA sentiasa komited untuk menjayakan musim ini dengan waktu rehat pertengahan musim akan diawalkan kepada bulan Mac dan April ini.

Seperti GP Azerbaijan, penundaan perlumbaan di Bahrain, Vietnam, China, Belanda dan Sepanyol berkemungkinan akan mendapat tarikh baru, namun ia bergantung kepada perkembangan pandemik global itu.

"Kami menyedari terdapat potensi besar untuk penangguhan tambahan dalam acara yang dijadualkan pada masa ini, namun kami dan rakan-rakan mengharapkan ia akan bermula pada musim panas ini dengan kalendar yang dikemas kini melibatkan 15 hingga 18 perlumbaan.

"Seperti yang diumumkan sebelum ini, kami akan memanfaatkan waktu rehat pertengahan musim untuk dibawa ke depan pada bulan Mac dan April, dan perlumbaan akan diteruskan pada musim panas ini.

"Kami menjangkakan tarikh akhir musim ini akan melangkaui tarikh akhir asal kami pada 27-29 November.

"Mustahil untuk menyediakan kalendar yang lebih spesifik kerana ketidakstabilan keadaan semasa tetapi kami menjangkakan untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai keadaan di setiap negara tuan rumah serta isu-isu yang berkaitan dengan perjalanan ke negara-negara ini bulan depan," katanya.