Daripada kenyataan yang dikeluarkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkenaan larangan sebarang aktiviti sukan pasca perintah kawalan Pergerakan (PKP), sukan permotoran dua roda negara kini diambang musibah.

Sukan itu bergerak secara sendiri tanpa bantuan khusus daripada kerajaan tetapi dengan situasi semasa berikutan pandemik Covid-19, ramai dalam kalangan penggiat sukan permotoran tempatan akan kehilangan mata pencarian, terutama melibatkan saingan Cub Prix Malaysia.

Ahmad Fazli Sham Walat, yang merupakan antara pelumba berpengalaman dalam saingan itu, mengakui perkembangan berkenaan akan memaksa mereka untuk mencari sumber pendapatan lain bagi menampung perbelanjaan pasukan.

"Pada pendapat saya, setiap pasukan, kru, mekanik dan pelumba terpaksa mencari alternatif bagi membantu menjana dana pasukan.

"Kami tidak dapat berlumba, jadi kami tiada pendapatan.

"Tetapi pihak pengurusan masih menjalankan tanggungjawab kepada pelumba, jadi kami juga perlu melakukan sesuatu untuk membantu pasukan," katanya.

TKKR Racing merupakan antara pasukan yang banyak melabur bagi saingan musim ini.

Sudah pasti mereka akan berdepan masalah kewangan untuk membayar gaji kru dan pelumba jika musim ini dibatalkan.

"Sudah pasti kebajikan kesemua ahli pasukan akan terjejas, terutama daripada segi sumber pendapatan," kata pengurus TKKR Racing, Syed Ahmad Nizam Syed Ahmad.

"Ia juga akan memberikan kesan kepada penajaan memandangkan perlumbaan berkemungkinan besar tidak dapat diteruskan akibat Covid-19.

"Kami berharap agar sukan permotoran mendapat perhatian yang sebaiknya daripada pihak berwajib agar perlumbaan musim ini dapat diteruskan," katanya.

Sementara itu, penganjur Cub Prix Malaysia, Two Wheel Motor Racing (TWMR), menjelaskan bahawa mereka sudah tiada jalan selain mengharapkan bantuan daripada kerajaan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi kesemua pemegang taruh dalam industri sukan permotoran negara.

Bagi ketua bahagian promosi, Ron Hogg, mereka setidak-tidaknya perlu mencuba untuk menganjurkan kesemua 10 pusingan perlumbaan musim ini kerana terikat dengan komitmen bersama penaja.

"Jika kami tidak dapat melengkapkan saingan musim ini, kami berkemungkinan besar perlu berbincang dengan pihak kerajaan untuk melihat bantuan apa yang dapat diberikan kepada kami.

"Apabila bercakap mengenai bantuan, sudah pasti ia melibatkan bantuan kewangan.

"Mungkin di luar sana ada pihak lain yang lebih memerlukan seperti mereka-mereka yang tidak mempunyai makanan tetapi jika pihak kerajaan dapat memberikan pakej bantuan yang mencukupi untuk kelangsungan industri ini, mereka yang benar-benar terlibat dalam industri ini akan mendapat manfaatnya," katanya.