PSG 1 SAINT-ETIENNE 0

Thomas Tuchel mengakui "gusar" dengan keadaan Kylian Mbappe susulan kecederaan yang menimpa bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu ketika menentang Saint-Etienne.


Mbappe, terpaksa digantikan dalam babak pertama ketika PSG menang 1-0 dalam perlawanan akhir Coupe de France, awal pagi tadi, apabila disyaki ditimpa kecederaan pergelangan kaki berikutan terjahan daripada Loic Perrin.

Kecederaan itu berlaku kurang dari tiga minggu sebelum PSG menghadapi Atalanta dalam suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) dan pengurus, Tuchel, mengakui bimbang dengan situasi penyerang muda itu.

"Sesiapa yang melihatnya akan berasa bimbang," katanya dalam sidang akhbar.

"Sesiapa jua yang melihat kekasaran itu akan berasa bimbang."



Jaringan Neymar pada minit ke-14 menjadi pemisah kedua-dua pasukan yang menyaksikan perlawanan berkenaan dicemari insiden kad merah dan 10 kuning.

Tuchel tidak senang dengan pengadil, Amaury Delerue, ekoran kegagalannya mengawal permainan.

"Ia bermula dengan pelanggaran terhadap Neymar. Kami mengutip tiga kad kuning selepas kekasaran terhadap Kylian," katanya, melalui L'Equipe.

"Dan pada awalnya, dia hanya memberikan kad atas kekasaran berkenaan dan selepas itu kami minta pemain agar dilindungi, sebaliknya kami mengutip tiga kad kuning.

"Ini bukan kriteria yang sama yang diterapkan. Saya katakan ini kepada semua pemain. Ada saksi yang menonton tindak tanduk pemain, begitu juga penonton di televisyen.

"Dan yang paling penting, untuk melindungi semua pemain, bukan hanya anak buah saya. Ini adalah permainan untuk pemain dan tidak ia seperti itu."