Bekas pelumba Moto2 negara, Zaqhwan Zaidi, mengakui sukar untuk mana-mana pelumba kembali menyertai Kejuaran Dunia MotoGP seandainya sudah melangkah keluar daripada kejohanan itu.

Zaqhwan, yang merupakan juara keseluruhan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) pada 2014 dan 2016, pernah menyertai saingan Moto2 pada 2015 sebelum menarik diri daripada saingan itu.

Walaupun mengakui masih berkeinginan untuk bersaing di pentas tertinggi itu, pelumba kelahiran Selangor berkenaan berasakan ia bukan satu perkara yang mudah dan berasakan Kasma Daniel Kasmayudin dan Khairul Idham Pawi -- yang meninggalkan saingan dunia itu musim ini -- akan berdepan kesukaran sama.

"Perjalanan untuk ke MotoGP ada peringkatnya," katanya kepada Nadi Arena.

"Contohnya ketika saya menyertai JPmoto dahulu, ia pasukan yang baru daripada segenap sudut tetapi matlamat mereka, saya juga tidak tahu apa yang mereka mahukan, mungkin daripada segi pemasaran.

"Tetapi apabila tiba di sana, jangkaan mereka terlalu tinggi walaupun realitinya tidak seperti itu.

"Yang utama adalah keputusan. Kami sememangnya mahukan keputusan yang baik tetapi untuk mendapatkannya dalam masa setahun memang amat susah.

"Untuk menyediakan seorang pelumba, ia mungkin memerlukan dua atau tiga tahun.

"Kerana pelumba dalam MotoGP bukan calang-calang pelumba. Boleh dikatakan mereka semua adalah juara.

"Jadi apabila kita berada di pentas MotoGP, usahanya berbeza. Apabila terjadi seperti ini, saya susah nak kata.

"Apabila sudah terjatuh seperti ini, kita memerlukan motivasi yang kuat untuk pulih kembali," katanya.