Valtteri Bottas belum mahu mengibarkan bendera putih untuk menamatkan kariernya lebih awal dalam kancah Formula Satu (F1) biarpun dia sudah melangkaui usia 30 tahun.

Pemandu dari Finland itu tidak pernah menjulang kejuaraan F1 sejak menyertai kancah perlumbaan berprestij itu pada 2013.

Sepanjang tiga musim bersama pasukan Mercedes AMG Petronas, Bottas meraih lima kemenangan sejak menggantikan Nico Rosberg pada 2017.

Walaupun sering dibayangi Lewis Hamilton serta berdepan peningkatan usia, dia belum ada bayangan bilakah akan bersara.

"Saya rasa semakin bagus pada setiap tahun. Sepanjang masa saya berasa semakin berkembang dan mahu menikmatinya, itu yang penting.

"Saya tidak memikirkannya terlalu jauh, sudah tentu karier saya masih panjang," katanya menjelang Grand Prix (GP) Singapura, hujung minggu ini.

Dia, yang meluangkan masa bertemu kakitangan Petronas dan Prefchem di Kompleks Bersepadu Pengerang, Johor, semalam, berharap perlumbaan GP Singapura itu akan memberikannya lonjakan prestasi dalam membantu pasukannya meraih kejuaraan kategori pengeluar dengan lebih awal.

"Masih banyak yang boleh saya tawarkan dan ditingkatkan mengenai prestasi.

"Seperti yang saya kata, saya menikmatinya. Saya menghadapinya satu persatu dan mungkin apabila saya tidak menikmatinya lagi, saya akan duduk di rumah."