Valtteri Bottas sedar dia perlu mempamerkan peningkatan jika berhasrat mencabar rakan sepasukan dalam Mercedes, Lewis Hamilton, untuk merangkul gelaran Formula Satu (F1) musim depan.

Bottas berpindah ke Mercedes menjelang kempen 2017 berikutan persaraan mengejut juara dunia, Nico Rosberg.

Pemandu Finland itu, yang meraih kemenangan dalam perlumbaan pertamanya di Russia, bagaimanapun hanya mencatatkan dua kemenangan dalam baki 16 perlumbaan -- termasuk minggu terakhir di Abu Dhabi.

Dengan 305 mata, Bottas menduduki tangga ketiga dalam kedudukan pemandu apabila mendahului Sebastian Vettel dengan 12 mata manakala juara, Hamilton, berkelebihan 58 mata.

Selepas menetap di Silver Arrows, Bottas kini berharap dapat meneruskan momentum itu pada 2018 dan menjadi pencabar gelaran.

"Saya perlu meningkatkan permainan saya," katanya dalam majlis Petronas di Kuala Lumpur, semalam. "Saya perlu melakukannya dengan lebih baik secara keseluruhannya.

"Saya mengharungi beberapa tempoh yang sangat baik apabila melakukannya dengan baik dan konsisten tetapi saya juga gagal melakukan apa yang saya perlu lakukan.

"Saya perlu mengatasi isu-isu ini. Saya perlu belajar setiap perkara pada 2017, saya pasti akan bekerja keras dengan pasukan sepanjang musim sejuk ini, kemudian saya mahu menjadi pemandu yang lebih baik, lebih lengkap. Apa jua hasilnya, kita akan mengetahuinya tahun depan," tambahnya.