Bastianini mohon maaf kepada Hafizh Syahrin

Oleh Muzaffar Musa 16 Ogos 2020 16415
Bastianini mohon maaf kepada Hafizh Syahrin
Pelumba pasukan Italtrans Racing Team, Enea Bastianini, memohon maaf di atas insiden yang menimpa pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, dalam perlumbaan GP Austria di Litar Red Bull Ring hari ini.

Bastianini, yang menjadi punca Hafizh Syahrin berdepan kemalangan ngeri dalam saingan berkenaan, berasa kesal dengan apa yang terjadi dan mendoakan agar pelumba Aspar Team itu kembali pulih dengan secepat mungkin.

Dalam satu ciapan Twitter, dia berkata: "Saya benar-benar memohon maaf dengan apa yang berlaku. Saya mendoakan agar (Hafizh) Syahrin segera pulih. Saya tidak dapat mengungkapkannya dengan kata-kata tetapi kami mengharapkan agar keadaan pulih seperti sedia kala dan saya melihat ke depan bagi perlumbaan berikutnya."
 
Insiden yang menimpa Hafizh Syahrin itu berlaku di selekoh pertama pusingan keempat selepas Bastianini terlebih dahulu tergelincir dan jenteranya tertinggal di tengah-tengah litar.

Malang buat Hafizh Syahrin, yang sedang memecut selepas memintas beberapa pelumba lain, apabila gagal mengelak jentera di tengah-tengah litar berkenaan.

Pelumba negara itu kelihatan melambung tinggi dan kedua-dua jentera yang bertembung itu berkecai sebelum bendera merah dikibarkan.

Doktor dan pegawai perubatan bergegas ke lokasi kemalangan bagi memberikan bantuan awal kepada Hafizh Syahrin sebelum dia dikejarkan ke pusat perubatan dengan Ambulans.

Bekas pelumba kategori perdana MotoGP itu, bagaimanapun, dilaporkan stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
 
*Kredit foto: GPone.com

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen