Azman Shafriman ganti Razlan sebagai CEO SIC

Oleh Bernama 8 April 2020 529
Azman Shafriman ganti Razlan sebagai CEO SIC
Bekas Ketua Perikatan Strategik Jabatan Penjenamaan Petronas, Azhan Shafriman Hanif, dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif  baru Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berkuat kuasa hari ini.

SIC dalam satu kenyataan berkata Azhan Shafriman menggantikan Datuk Razlan Razali, yang telah diberi tanggungjawab penuh sebagai prinsipal Pasukan Perlumbaan Petronas Sepang.

Berhubung pelantikannya,  Azhan Shafriman, yang merupakan jurutera mekanikal terlatih, pengkhususan dalam bidang pembuatan dan sains bahan, mengucapkan terima kasih kepada pengurusan SIC bagi peranan barunya itu dan percaya beliau mampu membawa nama SIC ke tahap lebih cemerlang.

“Dengan dunia sedang berdepan cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini disebabkan oleh pandemik COVID-19, mempunyai asas kukuh dalam pengkomersilan permotoran  akan menjadi titik permulaan baik bagi khidmat saya dengan SIC, tatkala saya mendapatkan aspek dan pengetahuan lebih baik tentang operasinya.

“Namun, dengan peranan saya sebelum ini di Petronas, saya berpeluang memberikan maklum balas kepada SIC mengenai fasiliti dan kemudahan -- sekali gus menawarkan satu lagi asas penting untuk saya di SIC tatkala saya menyesuaikan diri dalam menjalankan peranan sebagai CEO,” katanya.

Berpengalaman selama 13 tahun dalam peranannya sebelum ini,  Azhan Shafriman berkata beliau berhasrat untuk bekerja dengan pasukan bagi menangani kelemahan perniagaan untuk jangka pendek, merancang strategi untuk masa depan di tengah-tengah keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

Untuk jangka sederhana, objektif utamanya adalah untuk memberi tumpuan terhadap kecemerlangan operasi, kawalan tadbir urus dan proses,  dengan usaha berterusan dan perkongsian baharu menjadi tumpuan untuk jangka panjang.

"Sepanjang tempoh ini, adalah penting untuk memberi tumpuan pada semua perkara dengan memberi keutamaan pada bidang khusus yang tepat dan melaksanakan strategi terbaik yang kami ada. Kami perlu menetapkan objektif bersama yang jelas, dan mencari hasil terbaik untuk mencapainya, " katanya.

Sementara itu, Pengerusi SIC, Tan Sri Azman Yahya, dalam kenyataan yang sama menzahirkan keyakinan bahawa Azhan Shafriman akan memimpin pasukan dengan jayanya dalam membawa SIC  ke tahap lebih cemerlang dengan bersandarkan kepada pencapaian sebelum ini.

"Shafriman adalah individu yang mempunyai kemampuan dan semangat waja, dan arif dengan dunia permotoran. Kami akan menggunakan asas yang diletakkan oleh Datuk Razlan Razali semasa memegang jawatan sebagai CEO untuk membangunkan lagi litar ke tahap lebih tinggi.

"Dalam tempoh lebih 11 tahun, Datuk Razlan telah memberikan impak  besar ke atas litar menerusi semangat  tinggi dan jitu terhadap sukan permotoran dan berdedikasi untuk sentiasa melakukan lebih baik lagi. Kami amat menghargai sumbangannya, " kata Azman.

 Sebagai CEO baru SIC, Azhan Shafriman akan menyelia pelaksanaan Pelan Induk SIC yang diaktifkan pada 2014,  bertujuan untuk menjadikan litar itu sebagai hab sukan utama dan edutainment di Asia -- fasiliti yang menawarkan pelbagai kemudahan yang telah menarik kunjungan berulang sepanjang tahun.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen