Azlan Shah tidak malu jadi penghantar makanan

Oleh Muzaffar Musa 15 November 2020 791
Azlan Shah tidak malu jadi penghantar makanan
Ikon sukan permotoran dua roda negara, Azlan Shah Kamaruzaman, kini menceburi perusahaan makanan dan apa yang lebih menarik, dia turut menjadi penghantar makanan bermotosikal.

Bekas pelumba Moto2 itu, yang kini antara jagoan dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), mula menghantar makanan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diaplikasikan Mac lalu.

Azlan Shah mengakui pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini menjadikan 2020 sebagai tahun yang sukar dan tidak malu untuk berubah daripada belumba di litar untuk kini menjadi penghantar makanan bermotosikal.

"Pada mulanya perniagaan kedai makan saya berjalan seperti biasa, cuma apabila PKP bermula, ramai yang tidak boleh keluar dan saya terfikir idea untuk menghantar makanan ke rumah pelanggan.

"Selepas itu, ramai yang memohon untuk saya sendiri yang menghantar makanan kepada mereka.

"Saya menjalankan perniagaan dengan adik saya, Alhamdulillah, kami menjual ayam penyet dan menghantarnya kepada pelanggan di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam," katanya.

Mengulas mengenai pengalaman barunya itu, Azlan Shah menambah: "Yang pahitnya, saya perlu meredah hujan dan basah. Yang manis pula, saya menerima banyak pesanan daripada peminat yang mahu berjumpa saya secara berdepan.

"Alhamdulillah, peminat banyak menyokong saya dalam penjualan makanan ini.

"Ia mengikut hari, adakalanya banyak dan adakalanya sedikit. Paling banyak saya rasa dalam 40 ke 50 tempahan (sehari).

"Tahun ini, semua orang akan rasa kesusahannya. Ramai yang bekerja kehilangan pekerjaan.

"Bagi saya, tahun memang begitu sukar untuk semua dan saya faham COVID-19 ini bukan perkara yang senang untuk dihadapi.

"Tetapi adakalanya kita perlu bangkit dan menghadapinya bersama-sama.

"Saya tidak malu kerana ia perusahaan saya bersama keluarga.

"Tidak kisah apa sahaja yang saya lakukan, yang penting rezeki itu halal dan saya gembira untuk melakukannya.

"Saya gembira menghantar makanan kerana dapat menjelajah laluan yang saya tidak pernah masuk sebelum ini, jadi saya gembira dengan apa yang saya lakukan," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen