Pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman, berharap peluang beraksi dalam saingan Moto2 musim 2019 dapat mengubati kekecewaan prestasi hambar tiga tahun lalu.

Azlan bakal menghadapi musim penuh Moto2 yang ketiga dalam kariernya selepas diikat oleh pasukan dari Sepanyol, SAG Racing Team, untuk musim 2019.

Sebelum ini, dia pernah beraksi dua musim berturut-turut pada 2014 dan 2015 bersama pasukan Idemitsu Honda Asia, namun dihampakan persembahan kurang konsisten selain masalah penaja.

Lantas, peluang kali ini mahu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh bekas juara kelas perdana Kejohanan Motosikal Asia (ARRC) 2013 itu.

"Tahun 2015 memang saya nikmati saingan kejuaraan dunia, cuma tahun berikutnya saya tidak dapat meneruskannya kerana tiada penaja. Saya harap kali ini mampu buat yang terbaik dan meraih semula sentuhan," katanya.

Selain saingan Moto2, Azlan juga akan terbabit dalam siri perlumbaan Superbike Asia (ASB1000) yang baru diperkenalkan dalam saingan ARRC musim 2019 tatkala dia akan mewakili pasukan Onexox TKKR Racing Team dan menunggang jentera BMW S 1000 RR.

Dia turut yakin dengan persiapan untuk menghadapi musim baru itu nanti menerusi bantuan daripada pasukan Alpha Racing yang lama berkecimpung dalam Kejohanan Superbike Dunia (WSBK).

"Apabila ada pasukan besar daripada WSBK, ia membantu wakil Asia untuk betul-betul yakin. Kami akan cuba bersaing untuk tahun 2019," tambahnya.