ASB1000 ARRC: Azlan sertai ONEXOX TKKR Racing

Oleh Staff Writer 3 Disember 2018 301
ASB1000 ARRC: Azlan sertai ONEXOX TKKR Racing
Pelumba berpengalaman negara, Azlan Shah Kamaruzaman, akan bersama pasukan ONEXOX TKKR Racing Team bagi menghadapi saingan kategori ASB1000 dalam Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) musim 2019.

Pelumba berusia 34 tahun itu akan beraksi menggunakan jentera BMW S1000 RR.

“Azlan merupakan antara pelumba terbaik di Malaysia ketika ini. 

"Saya agak terkejut memandangkan dia tidak diikat oleh mana-mana paukan pengeluar, jadi ia merupakan satu peluang baik kepada pasukan kami untuk memiliki pelumba berkaliber seperti Azlan di dalam pasukan,” jelas prinsipal pasukan ONEXOX TKKR Racing Team, Bobie Farid.

“Tidak ada pelumba lain yang memiliki pengalaman luas seperti Azlan,” jelas Bobie merujuk kepada pencapaian Azlan selama ini, bermula daripada siri Kejuaraan Cub Prix sehingga menjadi pelumba terbaik ARRC dan seterusnya menimba pengalaman di dalam kelas Moto2, Kejuaraan Motosikal Dunia.

Saingan musim 2019 menyaksikan pasukan ONEXOX TKKR Racing akan menyertai semua kelas dalam siri Kejuaraan Cub Prix Malaysia dan juga ARRC. Pasukan tersebut juga sedang membuat perancangan untuk membuat penampilan pertama dalam siri Kejuaraan Motosikal Sepanyol (CEV).

Dalam perkembangan lain, Honda Group of Companies Asia & Oceania meneruskan komitmen mereka untuk mengukuhkan lagi pembangunan sukan permotoran di rantau Asia dan Oceania. 

Dalam satu sesi pengumuman bersama media selepas Perlumbaan 1, pusingan akhir Kejuaraan Motosikal Asia FIM di Thailand, Honda mengumumkan pembentukan pasukan Honda Asia Dream Racing yang akan membawa cabaran Honda dalam kelas ASB1000cc, bermula musim depan.

Pasukan itu akan diwakili oleh pelumba tunggal dari Malaysia, Mohd Zaqhwan Zaidi, bersama-sama Makoto Tamada yang akan bertindak sebagai pengurus pasukan manakala Zulhelmi Ahmad sebagai penolong pengurus pasukan.

Pasukan itu juga akan dianggotai oleh tenaga-tenaga dari Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Sebagai persediaan meghadapi cabaran kelas ASB1000, Zaqhwan telah menyertai saingan JSB1000 Kejuaraan Seluruh Jepun sepanjang musim 2018 selain pasukan tersebut turut menyertai perlumbaan berprestij, Suzuka 8 Hours, yang menyaksikan mereka menamatkan saingan di kedudukan ketujuh.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen