Pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin, masih mencari nama dan gandingan sesuai dalam penubuhan pasukan barunya yang akan bersaing dalam Kejohanan Motorsikal Asia (ARRC) 2018.

Zulfahmi sudah membuat keputusan muktamad untuk tidak lagi bersaing dalam Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) pada tahun hadapan memandangkan Malaysia bukan lagi sebahagian daripada destinasi kejohanan tersebut.

Dia bakal bersaing dalam ARRC dan untuk rekod, dia pernah bersaing dalam kejohanan itu pada 2016 sebagai pelumba 'wildcard' bersama pasukan Bike Art Kawasaki dalam pusingan terakhir di Litar Chang, Buriram, Thailand.

Cuma bezanya kini, dia bukan sahaja akan beraksi sebagai pelumba, malah sebagai peneraju pasukan sendiri yang akan merangka segala perancangan pasukan.

"Kami dalam perancangan untuk membangunkan pasukan saya sendiri apabila bakal bekerjasama dengan Ahmad Zamani Baharuddin (bekas naib juara ARRC) yang berpengalaman luas selain mekanik saya dalam WSBK. Kami bertungkus-lumus untuk menubuhkan pasukan saya pada tahun depan," kata pelumba berusia 26 tahun dari Banting itu.

Zulfahmi juga menjelaskan setakat ini dia juga sedang dalam proses mencari penaja dan pelumba yang akan bersama pasukannya.

Tegasnya, biarpun pasukannya adalah sebuah pasukan baru, dia mengharapkan agar mereka mampu menjadi antara pencabar hebat dalam saingan ARRC musim depan.

"Sasaran saya mudah sahaja. Saya ingin berada dalam kedudukan kompetitif untuk menaiki podium ataupun menang. Tetapi, semua itu sudah tentu bergantung kepada jentera dan pilihan yang saya ada.

"Saya ingin berlumba dalam kelompok hadapan," tambahnya.