Pelumba negara, Zaqhwan Zaidi, berharap mampu pulih secepat mungkin untuk bersedia menghadapi pusingan pertama Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2019 pada Mac tahun depan selepas mengalami patah pergelangan tangan kanan di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Sabtu lalu.

Ini merupakan insiden paling teruk pernah dialami Zaqhwan sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanannya patah dan perlu menjalani pembedahan dengan kadar segera.

Bahkan, ia sesuatu yang mengecewakan apabila kemalangan itu menyebabkan dia gagal untuk menutup musim 2018 dengan kejayaan dalam pusingan akhir ARRC tahun ini.

Pelumba berusia 23 tahun itu, bagaimanapun, enggan terlepas untuk memulakan saingan ARRC musim 2019 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Mac depan walaupun hakikatnya kecederaan itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk pulih.

"Mungkin saya sempat pulih. Walaupun dalam keadaan sakit, saya cuba untuk berlumba.

"Dalam perlumbaan terakhir, saya menanggung kecederaan keretakan tapak tangan tetapi saya tetap berlumba sebelum terjatuh yang mengakibatkan tangan yang berbeza patah.

"Walaupun bertambah sakit, saya berikrar untuk membuat kemunculan pada tahun depan," katanya.

Pelumba tunggal negara dalam Kejuaraan Seluruh Jepun itu terlebih dahulu masih belum berpuas hati apabila menamatkan musim pertamanya di negara matahari terbit itu di kedudukan ke-17 daripada 36 pelumba keseluruhan.

"Saya akui tidak berpuas hati dengan prestasi saya musim ini, termasuk dalam saingan di Jepun, tetapi peluang pada tahun depan masih ada.

"Sudah pasti saya akan kembali dengan lebih mantap lagi," katanya.