ARRC: Zaqhwan sambar tempat ketiga perlumbaan 1 

Oleh Penulis Jemputan 13 Oktober 2018 122
ARRC: Zaqhwan sambar tempat ketiga perlumbaan 1 
Mohd Zaqhwan Zaidi tetap berpuas hati setelah meraih tempat ketiga dalam Perlumbaan 1 SuperSports 600cc Kejuaraan Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) di Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia, hari ini.

Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu dalam misi untuk mencari kemenangan pertamanya musim ini, namun menghadapi kesukaran untuk menggugat kehandalan pelumba tuan rumah yang menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di litar kebiasaan mereka.

Gelaran juara menjadi milik pelumba muda Indonesia, Andi Farid Izdihar (Astra Honda Racing), dengan masa 24:17.288s setelah pertarungan sengit bersama rakan senegara, Ahmad Yudhistira (Manual Tech KYT Kawasaki Racing), yang tamat di tempat kedua dengan masa 24:17.317s.

Zaqhwan menamatkan 16 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 24:26.179s manakala rakan senegara, Azlan Shah Kamaruzaman, di tempat kelapan dengan masa 24:32.429s.

“Saya menghadapi sedikit kesukaran di peringkat awal perlumbaan apabila cuaca semakin panas. 

"Saya cuba mengejar dan menghampiri pelumba di hadapan, namun agak sukar kerana mereka sudah jauh di depan. 

"Saya cuba mengekalkan kedudukan dan paling penting, mengumpul mata kejuaraan,” jelas Zaqhwan yang kini berada di tangga ketiga keseluruhan dengan 81 mata.

“Saya berterima kasih kepada seluruh pasukan dan penyokong. Saya akan mencuba lebih baik untuk perlumbaan esok.”

Anthony West (Webike IKAZUCHI Racing) mendahului senarai keseluruhan dengan 136 mata, diikuti Azlan Shah kedua dengan 93 mata.

Sementara itu, Md Helmi Azman terus melebarkan jurang pendahulu dalam kategori Uunderbone 150cc setelah muncul naib juara Perlumbaan 1 dengan catatan masa keseluruhan 18:31.795s.

Pelumba SCK Rapido Hi Rev Honda Racing itu kini mengumpul 154 mata, 32 mata mengatasi rakan senegara, Md Izzat Zaidi Salehan (RCB Yamaha YY Pang Racing) yang mengumpul 122 mata. 

Tempat ketiga ketika ini milik Ahmad Fazli Sham (ONEXOX TKKR Racing Team) dengan 96 mata.

Perlumbaan 1 menjadi milik pelumba wildcard tuan rumah, M. Agung Fahrul (Orbit SND CNC Porting) yang menamatkan 10 pusingan perlumbaan dengan masa 18:31.795s manakala tempat ketiga milik Gupita Kresna (Yamaha Yamalube SND Factory) dengan masa 18:31.853s.



KEPUTUSAN PERLUMBAAN 1 PUSINGAN 5 ARRC

SUPERSPORTS 600CC


1 Andi Farid Izdihar (INA) Astra Honda Racing Team 24:17.288s

2 Ahmad Yudhistira (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 24:17.317s

3 Md Zaqhwan Zaidi (MAS) Musashi Boon Siew Honda Racing 24:26.061s

4 Irfan Ardiansyah (INA) Astra Honda Racing Team 24:26.179s

5 Ratthapong Wilairot (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 24:30.229s


Kedudukan Keseluruhan

1 Anthony West (AUS) Webike IKAZUCHI Racing 136 mata

2 Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 93 mata

3 Md Zaqhwan Zaidi (MAS) Musashi Boon Siew Honda 81 mata

4 Ahmad Yudhistira (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 79 mata

5 Yuki Ito (JPN) Yamaha Racing Asean 76 mata

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen