Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing, Mohd Zaqhwan Zaidi, berhasrat untuk menamatkan kemarau gelaran juara kategori SuperSports 600cc apabila turun beraksi dalam pusingan kelima Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia, Jumaat hingga Ahad ini.

Pelumba yang juga merupakan juara keseluruhan musim 2014 dan 2016 itu masih belum meraih sebarang gelaran juara sepanjang empat pusingan lalu, dengan pencapaian terbaik muncul naib juara pusingan keempat yang berlangsung di Madras, India, Ogos lalu.

Kali terakhir Zaqhwan muncul juara ialah dalam perlumbaan 1 sewaktu pusingan keenam ARRC di Litar Buriram, Thailand, yang membantunya muncul naib juara keseluruhan musim lalu di belakang seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman.

“Saya sangat berharap dapat memenangi perlumbaan minggu ini, namun rekod saya di sini tidak begitu baik. Pada musim lalu, saya sekadar di tempat keempat dalam perlumbaan 1 sebelum mengalami kemalangan dan tidak dapat beraksi dalam perlumbaan 2,” jelas Zaqhwan.

“Namun, saingan kali ini sudah tentu bukannya mudah, ditambah dengan kehadiran pelumba tuan rumah dan juga faktor keadaan litar yang agak mencabar di sini. Bagaimanapun, saya akan memberikan yang terbaik dan yakin kemampuan jurutera pasukan untuk menyediakan jentera terbaik kepada saya.” tambahnya.

Selepas empat pusingan, Zaqhwan yang turut beraksi dalam saingan 1000cc Kejuaraan Seluruh Jepun, kini menghuni tangga kelima keseluruhan dengan mengumpul 65 mata selepas tidak beraksi dalam pusingan kedua di Australia sebelum ini.